Badminton perlu tampil lebih padu di Olimpik Paris

Abdul Rashid, Hamidin dan Stuart semasa sidang media tersebut.
Abdul Rashid, Hamidin dan Stuart semasa sidang media tersebut.
A
A
A

KEM badminton negara diharapkan dapat mengekalkan momentum kemenangan selepas dua perenang dan penembak negara terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub meletakkan harapan agar pemain-pemain dapat meneruskan kemaraan lebih jauh dalam melakarkan kejayaan buat kontinjen negara.

Katanya, pemain badminton perlu memperagakan prestasi yang lebih baik daripada saingan di peringkat kumpulan apabila melangkah ke pusingan kalah mati.

"Buat masa ini, sukan-sukan yang kita jangka memberikan prestasi terbaik telah menepati ramalan. Keadaan atlet juga baik dan bebas kecederaan," katanya pada sidang media.

Prestasi skuad badminton negara menerima pujian terutamanya apabila beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejutan ke atas juara dunia dua kali dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara manakala beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjinakkan pasangan nombor dua dunia dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menjangkakan empat wakil badminton dapat melayakkan diri ke suku akhir dengan setakat ini beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Tang Jie-Ee Wei.

"Saya juga berharap semangat juang tinggi daripada kem badminton ini akan dapat mencetuskan semangat kepada atlet lain yang bakal beraksi seperti memanah individu, terjun, golf, berbasikal dan angkat berat," katanya.

Pearly-Thinaah akan berdepan gandingan nombor enam dunia dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti manakala pemain perseorangan lelaki Zii Jia bertemu pemain berpengalaman dari Sepanyol, Pablo Abian, perseorangan wanita Goh Jin Wei bertemu Kim Ga-eun dari Korea Selatan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan masing-masing itu akan mengesahkan slot mereka di peringkat suku akhir.

Hamidin berkata, persembahan di bawah prestasi terbaik peribadi daripada penembak Johnathan Wong (10m air pistol lelaki), perenang Tan Rouxin (100m kuak dada wanita) dan Khiew Hoe Yean (400m gaya bebas lelaki), serta trio memanah - Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Masyahikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil - (acara berpasukan) menyebabkan mereka tersingkir awal.

Mengulas mengenai laporan media antarabangsa mengenai kekurangan makanan di Perkampungan Sukan dan masalah pengangkutan ke venue, beliau berkata, penganjur telah memperbaiki kelemahan yang ada selepas menerima maklum balas ketika mesyuarat CDM.

"Di Perkampungan Sukan mesti ada sedikit masalah, takkan sempurna macam hotel, tetapi keseluruhan semuanya baik. Ketika banyak atlet atau pegawai makan... ada berlaku kekurangan, tapi mereka telah mengisi bekalan makanan dengan cepat," katanya.

Penyelaras Program Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam berkata, Malaysia House yang diwujudkan di sebuah hotel berdekatan Perkampungan Sukan sejak 22 Julai lalu berjaya menyelesaikan isu kekurangan makanan buat atlet negara sebelum keadaan di sana ditambah baik.

Selain menyediakan keperluan makanan, Malaysia House yang diwujudkan buat kali pertamanya di bawah inisiatif RTG turut menyediakan pelbagai sokongan tambahan buat atlet seperti perkhidmatan fisioterapi, pakar psikologi, pakar pemakanan dan tukang urut.

"Penyediaan fasiliti ini dapat membantu atlet mendapatkan sokongan rawatan dan pemulihan dengan cepat, elak tempoh menunggu di Perkampungan Sukan, selain mengadakan sesi bersama pakar motivasi atau menenangkan diri.

"Hampir setiap hari kita ada atlet yang hadir menggunakan fasiliti ini termasuk Pearly dan Thinaah yang mendapatkan rawatan kiropraktik dari luar di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!