Iltizam Azmir, McDonald’s untuk semua

No Image Caption
A
A
A

Di sebalik kemegahan jenama McDonald’s Malaysia, terdapat seorang sosok penting yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan syarikat itu di Malaysia.

Beliau ialah Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar yang mengabdikan dirinya bersama restoran itu lebih tiga dekad.

Siapa sangka, seorang anak tempatan dari keluarga yang sederhana menjadi peneraju utama dan meletakkan restoran perkhidmatan segera itu kekal menjadi pilihan utama sehingga ke hari ini.

Azmir merupakan anak seorang peneroka dari Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan yang memulakan kerjayanya di restoran itu sebagai pengurus pelatih sahaja, kini menjadi Pengarah Urusan termuda di syarikat itu.

Malah, Azmir terus melakar namanya dalam bidang perniagaan di negara ini apabila McDonald's Malaysia merupakan restoran miliknya sendiri, sekali gus restoran itu merupakan syarikat milik Muslim oleh rakyat Malaysia.

Pada tahun 2016, beliau menjadi pemilik Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd iaitu pelesen McDonald’s Malaysia, apabila syarikat tersebut diambil alih oleh Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Sebagai pemilik McDonald’s di Malaysia, Azmir diberi hak untuk menjalankan operasi secara bebas dan menentukan cara perniagaan dalam pasaran Malaysia.

Kepimpinan terserlah

Artikel Berkaitan:

Meskipun Azmir dari keluarga yang sederhana, Azmir mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan mendapat tawaran memasuki Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah.

Kecemerlangan itu diteruskan apabila beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke University of Georgia, Amerika Syarikat dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pemakanan (Diet Klinikal) pada tahun 1988 dan kemudiannya meneruskan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di University of Bath, United Kingdom pada tahun 1992.

Sekembalinya Azmir ke tanah air, beliau memulakan kerjayanya bersama McDonald’s Malaysia pada tahun 1993 sebagai Pengurus Pelatih.

Selepas 13 tahun dalam pengurusan syarikat, kewibawaan beliau menyerlahkan potensi untuk menjawat jawatan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia dari 2006 hingga ke 2009.

Kepimpinannya terserlah melalui peningkatan bilangan restoran McDonald’s dan pertumbuhan jualan yang berganda di Malaysia.

Lonjakan ini mengangkat beliau sebagai Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pembangunan McDonald’s dari 2009 ke 2015 dan melebarkan sayap beliau ke negara China dan Timur Tengah untuk membantu memperkembang pasaran di sana.

Di China, Azmir berjaya membangunkan lebih 1,100 restoran McDonald’s termasuk membuka 500 McCafe dan lebih 250 restoran Pandu-Lalu iaitu tiga kali ganda dari sebelumnya, dalam tempoh lima tahun.

Dalam pasaran Timur Tengah, beliau menerajui perniagaan disana bersama pemilik McDonald’s melibatkan 17 negara.

“Kejayaan saya perolehi ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Alhamdulillah meskipun saya berasal daripada keluarga yang sederhana, kerja keras dan tekad telah membawa saya ke tempat saya hari ini,” kata Azmir yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 2019.

Sebagai anak jati Negeri Sembilan, anugerah itu sangat besar maknanya dan beliau berharap dapat terus menyumbang bakti kepada masyarakat di Negeri Sembilan.

Mekdi di hati rakyat Malaysia

Pada tahun 2015, Azmir kembali menerajui McDonald’s Malaysia sebagai Pengarah Urusan dan menggunakan pengalaman yang diperolehi dalam pasaran antarabangsa memperhebatkan McDonald’s Malaysia.

Di bawah kepimpinan Azmir, McDonald’s Malaysia berkembang pesat dengan 370 restoran di seluruh negara serta memperkenalkan pelbagai inovasi baharu dalam operasi restoran.

Menurut Azmir, saban tahun McDonald’s Malaysia semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat Malaysia sehingga nama ‘Mekdi’ dipopularkan sebagai nama sandaran restoran itu.

“Jolokan ‘Mekdi’ bukan sekadar nama, tetapi ia adalah simbolik yang McDonald’s Malaysia amat menitikberatkan penglibatan rakyat tempatan dalam perniagaannya sama ada dalam aspek pembekalan, logistik mahupun tenaga kerja.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk bersama-sama dalam keluarga Mekdi dan melihat McDonald’s Malaysia mencatatkan pelbagai kejayaan. Sebagai anak tempatan, saya amat berbangga apabila ia antara restoran perkhidmatan segera yang menggunakan 100 peratus pekerja tempatan dan 90 peratus mereka adalah beragama Islam,” kata Azmir.

Beliau berkata, setakat ini, McDonald's Malaysia telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 16,000 pekerja warganegara Malaysia.

Ia adalah aspirasi yang diangkat Azmir dalam membangunkan McDonald’s Malaysia.

Pada hemat beliau, perkembangan itu bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi dengan membuka restoran-restoran di seluruh negara, malah ia membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia.

‘Keluarga Mekdi, keluarga saya’

Pengalaman Azmir yang bermula sebagai pengurus pelatih restoran membantu membentuk keperibadian beliau terhadap masyarakat, memahami apa yang dilalui oleh pekerjanya dan peduli kepada kebajikan serta kesejahteraan semua.

Lantaran itu, apabila ada pekerjanya yang ditimpa musibah, beliau akan pastikan mereka mendapat bantuan yang mencukupi.

Baru-baru ini, Azmir berkesempatan untuk menunaikan haji dan mendoakan kecekalan pekerja-pekerjanya yang kini juga berdepan dengan pelbagai dugaan. “Pekerja McDonald’s sentiasa di hati saya walaupun di mana saya berada kerana kami bekerja sebagai satu pasukan yang mempunyai matlamat yang sama.

Ketika saya menunaikan haji, warga kerja McDonald’s tidak jauh di hati saya, saya sentiasa mendoakan agar mereka kuat menghadapi dugaan dan cabaran.

“Saya juga sentiasa mendoakan agar McDonald’s terus memberikan manfaat kepada masyarakat dan berdaya niaga serta membantu rakyat Malaysia,” kata Azmir.

Azmir juga mempunyai wawasan untuk memastikan McDonald’s Malaysia bukan sekadar restoran yang biasa tetapi ia adalah gedung pembangunan bakat dan kerjaya kepada para belia dan pekerja semasa.

McDonald’s Malaysia di bawah kepimpinannya menawarkan pendidikan dari sijil kemahiran vokasional sehingga ke peringkat pengajian sarjana.

Justeru, pada warga McDonald’s, mereka melihat restoran ini bukan sekadar tempat bekerja, tetapi juga sebuah syarikat yang memberikan peluang kepada pekerja untuk menceburi bidang perkhidmatan makanan untuk mara dan maju bersama.

Prihatin

Sejak penubuhan McDonald’s di Malaysia, keprihatinannya terhadap komuniti amat terserlah.

Malah, Azmir meletakkan McDonald’s untuk berbakti dan menyantuni komuniti selain menyediakan hidangan yang istimewa kepada pelanggan.

Menurut Azmir, McDonald’s memperkenalkan Program Komuniti @ McDonald's & RMHC dan pada setiap tahun lebih 19,000 aktiviti kemasyarakatan dijalankan, melibatkan kesemua restoran mereka di seluruh negara.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dijalankan ialah sambutan hari jadi anak yatim, sambutan hari bapa dan sambutan Tahun Baharu Cina bersama warga emas.

“Selain menjalankan aktiviti kemasyarakatan, McDonald’s juga bertanggungjawab untuk membayar zakat korporat, seiring dengan tuntutan Rukun Islam sebagai syarikat orang Islam.

“Sejak 2017, McDonald’s telah menunaikan zakat berjumlah lebih RM12 juta kepada institusi zakat di seluruh negara,” kata Azmir.

McDonald’s Malaysia juga antara syarikat pertama di Malaysia yang telah menyumbang RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Azmir turut menubuhkan Yayasan Jaafar Ahmad, sebuah yayasan yang memfokuskan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan di Negeri Sembilan, terutamanya terhadap pendidikan kanak-kanak.

Sumbangan-sumbangan itu telah dilaksanakan melalui pelbagai kerjasama termasuk dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) untuk menyediakan Pek Kembali Ke Sekolah dan pembinaan Bilik Sensori Terapi Ronald McDonald di Negeri Sembilan.

Lebih 1,000 kanak-kanak telah menerima manfaat melalui yayasan ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!