PM beri jaminan, nelayan tak perlu takut kehadiran kapal CCG
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada nelayan di Laut China Selatan yang bimbang terhadap kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.
"Jangan takut... jangan takut," katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Bulan Keselamatan Negara di sini pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan kehadiran kapal CCG di perairan Malaysia menyukarkan nelayan dan pemancing ketika menjalankan aktiviti tersebut.
Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.
China pula merujuk Beting Patinggi Ali sebagai Nánkāng ànshā dan Beijing menganggap ia bahagian paling selatan wilayahnya kira-kira 2,000km dari tanah besar negara itu.
Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3, mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.
Sementara itu, dalam ucapannya Anwar berkata, Malaysia tidak akan terikut dengan kerangka diplomasi asing dan menentukan kepentingan serta strategi negara berdasarkan pengalaman sendiri.
Tambah beliau, setakat ini Malaysia tidak hadapi ancaman yang dianggap membimbangkan meskipun media barat menekankan seolah-olah ada pelanggaran beberapa peraturan oleh China.
"Kita berhadapan isu yang dibangkitkan di Wilayah Laut China Selatan tetapi hubungan kita dengan Amerika Syarikat, negara barat dan China itu baik.
"Hubungan kita dengan China menunjukkan bahawa semua permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!