Perkhidmatan jet mula operasi di Subang selepas 22 tahun

Anthony Loke dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Selasa.
Anthony Loke dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak enam syarikat penerbangan akan memulakan operasi jet di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bermula 1 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengenalan semula operasi itu adalah kali pertama sejak 22 tahun lalu selepas ia dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2002.

Menurutnya, kemudahan yang dinaik taraf itu akan bermula dengan sembilan penerbangan harian dari FireFly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa dan Scoot.

“Fasa Operasi Jet Interim (IJO) ini akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang setahun sebelumnya kepada 3 juta dengan keupayaan untuk menampung operasi pesawat jet berbadan sempit seperti Boeing 737 dan Airbus A320.

“Kerja-kerja pembinaan untuk IJO bermula pada 1 Disember 2023 dan semua kerja fizikalnya telah siap secara praktikal pada 30 Jun lepas mengikut jadual. LTSAAS kini telah bersedia untuk memulakan semula operasi untuk jet.

"Bagaimanapun, operasi jet ini dihadkan kepada hanya satu penerbangan untuk setiap satu jam, dengan tempoh operasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam memandangkan kawasan ini turut dikelilingi penempatan penduduk," katanya pada sidang akhbar di LTSAAS, di sini pada Selasa.

Sehingga hari ini, LTSAAS hanya terhad untuk mengendalikan pesawat yang dipacu kipas seperti turboprop, helikopter, pesawat ringan dan tentera serta jet perniagaan.

Tambah Anthony Loke, operasi jet pertama dijadualkan berlepas pada Khamis oleh Batik Air Malaysia ke Pulau Pinang yang dijadualkan pada jam 12 tengah hari dan ketibaan penerbangan Transnusa dari Jakarta dijadualkan pada jam 2 petang pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Batik Air Malaysia akan memulakan perkhidmatan Boeing 737 tiga kali seminggu ke Pulau Pinang bermula 1 Ogos ini, sebelum meningkat kepada tujuh kali seminggu mulai 15 Ogos manakala Transnusa dengan Airbus A320 sebanyak 7 kali seminggu dari Jakarta Soekarno-Hatta bermula 1 Ogos ini.

“Firefly pula dengan Boeing 737 tujuh kali seminggu ke Kota Kinabalu dan Pulau Pinang bermula 29 Ogos, AirAsia Malaysia melalui Airbus A320 sebanyak 14 kali seminggu ke Kota Kinabalu dan Kuching mulai 30 Ogos nanti.

“Scoot dengan Airbus A320 pula tujuh kali seminggu dari Singapura (Changi) bermula 1 September 2024 sementara Firefly akan mengekalkan penerbangan ATR 266 kali seminggu ke Alor Setar (29 kali), Johor Bahru (33 kali), Kota Bharu (43 kali), Langkawi (14 kali), Pulau Pinang (72 kali), Kuala Terengganu (29 kali) dan Singapura (Seletar) (46 kali).

“Dengan operasi jet tambahan di atas operasi ATR Firefly, ketersambungan dan rangkaian LTSAAS Subang akan dipertingkatkan dengan pautan terus ke lapan destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke menjelaskan, pihaknya juga akan mengemukakan kepada Kabinet pada Rabu mengenai keperluan sistem pagar automatik di LTSAAS bagi melancarkan perjalanan penumpang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!