Penoreh getah mengaku rogol anak kandung
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas enam pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun pada Januari hingga Oktober tahun lalu.
Bapa berusia 45 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan juga minimum 10 kali sebatan.
Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar Januari 2023, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Gajah, Manek Murai, Kuala Krai.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara jam 1 pagi hingga 9 pagi tanpa kerelaan gadis berkenaan yang mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan yang mengendalikan kes memohon mahkamah supaya tidak diberi jaminan kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius.
Mahkamah kemudian menetapkan menetapkan 21 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!