Kerajaan pertimbang buka semula perkhidmatan Skypark Link

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang mempertimbangkan pembukaan semula perkhidmatan tren Skypark Link antara KL Sentral dan Subang Skypark sebaik sahaja terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang siap sepenuhnya pada 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika terdapat permintaan tinggi dan lebih banyak penerbangan di LTSAAS, kerajaan mungkin akan membuka semula perkhidmatan Skypark Link lebih awal.

“Operasi SkyPark Link mungkin beroperasi dalam tempoh dua ke tiga tahun lagi selepas terminal baharu nanti siap. Saya pernah katakan sebelum ini, jika terminal baharu sudah bersedia untuk beroperasi, perkhidmatan tren ini juga perlu bersedia.

“Kita juga melihat kepada kemungkinan untuk ia beroperasi lebih awal sebab landasan dan stesennya sudah ada, hanya perlu tunggu permintaannya kembali meningkat,” katanya pada sidang akhbar di LTSAAS dekat sini pada Selasa.

Perkhidmatan Skypark Link digantung buat sementara waktu berkuat kuasa 15 Februari 2023 berikutan jumlah penumpang perkhidmatan yang rendah dengan hanya kira-kira 80 orang pada satu-satu masa.

Kos untuk menjalankan perkhidmatan itu berjumlah RM15 juta juga dikatakan menjadi faktor penggantungan perkhidmatan berkenaan yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Pada Julai 2023, kerajaan telah meluluskan Pelan Penjanaan Semula LTSAAS untuk MAHB menaik taraf dan membangunkan lapangan terbang dan sekitarnya seluas 477.33 hektar.
Artikel Berkaitan:


Konsep lapangan terbang bandar tersebut adalah berasaskan untuk memanfaatkan kedudukan Subang yang berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur, menyediakan masa pemprosesan yang lebih singkat untuk pengembara yang sensitif masa dan menghubungkan pengembara ke destinasi utama domestik serta antarabangsa.

Bermula Khamis ini juga, enam syarikat penerbangan akan memulakan operasi jet di LTSAAS dengan kemudahan yang dinaik taraf itu membabitkan sembilan penerbangan harian daripada Firefly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa dan Scoot.

Fasa Operasi Jet Interim (IJO) ini akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang setahun sebelumnya kepada 3 juta penumpang dengan keupayaan untuk menampung operasi pesawat jet berbadan sempit seperti Boeing 737 dan Airbus A320.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!