7 jam lolos, banduan ditangkap semula dalam reban ayam


Banduan yang melarikan diri berjaya ditangkap semula di dalam reban ayam di kawasan perumahan kuartes berhampiran bangunan hospital lama Keningau.
Banduan yang melarikan diri berjaya ditangkap semula di dalam reban ayam di kawasan perumahan kuartes berhampiran bangunan hospital lama Keningau.
A
A
A

KENINGAU - [DIKEMAS KINI] Selepas kira-kira tujuh jam meloloskan diri, seorang banduan yang baharu dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Keningau, berjaya ditangkap semula ketika bersembunyi di reban ayam di kawasan perumahan kuarters berhampiran bangunan hospital lama di sini pada malam Isnin.

Lelaki berusia 24 tahun yang dijatuhkan hukuman penjara enam bulan itu berjaya ditangkap oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau pada jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, sebelum kejadian kakitangan penjara telah menghantar tujuh banduan termasuk suspek ke Mahkamah Keningau.

Ketika suspek sedang dibacakan hukuman atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara pada jam 2.30 petang di hadapan majistret, suspek secara tiba-tiba telah melompat keluar dari kandang tertuduh.

"Suspek kemudian menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua sehingga ke atas bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter dan melompat lagi dari bumbung garaj setinggi empat meter dan terus berlari menghala ke pagar kawasan mahkamah sejauh 70 meter.

"Suspek kemudian memanjat keluar pagar tersebut dan terus menghala ke jalan raya utama berhampiran Bulatan Rusa, Pekan Keningau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Susulan kejadian itu, Yampil berkata, suspek bertindak menghilangkan diri dan gagal dikesan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, pada jam 9.30 malam di kawasan perumahan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan hospital lama Keningau, sepasukan polis kemudian berjaya menahan suspek yang sedang bersembunyi di dalam reban ayam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yampil berkata, suspek dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!