Undang-undang baharu dibimbangi hadkan kebebasan media - Gerakan

Dominic
Dominic
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersetuju dengan langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bagaimanapun bimbang undang-undang baharu tersebut akan mengehadkan kebebasan bersuara terutamanya media.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu kerajaan mengambil kesempatan untuk memanipulasi undang-undang baharu tersebut bagi mengehadkan ruang bersuara.

"Ini kerana kerajaan perlu menjamin kebebasan bersuara rakyat, terutamanya media sebagai mata dan telinga rakyat, bagi memastikan kerajaan mentadbir dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) mendakwa telah lama memperjuangkan kebebasan bersuara, namun keadaan dilihat sebaliknya sepanjang tempoh pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

"Mereka sering menggunakan pelbagai saluran untuk menindas kebebasan bersuara demi mengekalkan kuasa dan perjuangan politik mereka, termasuk campur tangan dalam berita serta menyekat kebebasan bersuara di media sosial," ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan mengapa agensi media rasmi, Bernama masih belum membuka ruangan komen di halaman Facebook sehingga kini, yang secara langsung mengehadkan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat.

"Perlembagaan negara menjamin kebebasan bersuara, tetapi tindakan Bernama cenderung bersikap konservatif, mengapa takut dengan pendapat rakyat," soal Dominic.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, Dominic mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebelum tahun 2018, ada kumpulan tertentu yang menggunakan tentera siber untuk menyerang kerajaan, tetapi kerajaan pada masa itu tidak mengambil tindakan terhadap mereka walaupun berada dalam keadaan terancam.

"Tidak seperti sekarang, pengguna media sosial yang mempunyai pendapat yang berbeza dengan kerajaan akan dikenakan sekatan.

“Terdapat banyak kes yang menunjukkan dasar 'double standard' oleh Kerajaan Perpaduan. Jika menggubal undang-undang untuk mengehadkan hak dan kebebasan bersuara rakyat, ia adalah tidak wajar.

"Jika terdapat unsur fitnah atau pencemaran yang mengancam ketenteraman awam, kerajaan harus menggunakan undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang terlibat di mahkamah," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan bersuara tertulis dalam Perlembagaan Negara dan tiada sesiapa pun boleh sewenang-wenangnya menindasnya berdasarkan politik semasa.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan tidak mengenakan sekatan yang berlebihan dan mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!