Peluang LZS perluas dakwah
SHAH ALAM - Pertandingan Mencari Siti sempena Karnival Rakyat Karangkraf menjadi platform kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperluaskan dakwah mengenai zakat kepada komuniti setempat, khususnya golongan wanita.
Ketua Jabatan Media dan Editorial LZS, Ima Syuhada Ismail berkata, pihaknya mengambil peluang lakukan kerjasama dalam program berkenaan untuk berkongsi antara kejayaan badan pungutan zakat itu membebaskan status penerima kepada pembayar.
"Kami menampilkan perkongsian seorang wanita bernama Siti yang sebelum ini merupakan penerima zakat LZS, tetapi sekarang berjaya sebagai doktor perubatan.
"Dia antara inspirasi kepada masyarakat dan menjadi kejayaan LZS menghasilkan Siti yang boleh menjadi contoh kepada wanita di luar sana," katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf sempena Karnival Rakyat Karangkraf, pada Sabtu.
Sebagai rekod, pertandingan Mencari Siti membuka peluang kepada wanita bernama Siti dalam menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing.
Peserta yang layak ke pertandingan akhir dipilih berdasarkan keupayaan serta ketangkasan menyelesaikan beberapa cabaran yang ditetapkan.
Tugasan yang harus dilalui Siti antaranya pertandingan melipat baju paling kemas, mengasingkan beras, kacang hijau, lada hitam paling pantas, mengupas bawang dan pelbagai lagi.
Dalam pertandingan yang berlangsung pada hari kedua karnival, seorang pekerja swasta, Siti Suryani Othman dari Seksyen U8 Shah Alam telah dinobatkan sebagai juara acara tersebut.
Wanita berusia 48 tahun itu berjaya membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai RM1,000 serta hamper daripada penganjur.
Peluang memartabatkan wanita
Dalam pada itu Ima Syuhada menjelaskan, pihaknya memilih untuk bekerjasama dalam pertandingan tersebut kerana melihat golongan wanita sebagai tulang belakang kepada keluarga dan masyarakat.
"Kita tidak boleh menafikan peranan wanita dalam membantu LZS, terutamanya pembayar zakat wanita yang turut menyantuni golongan asnaf di Selangor.
"Kami melihat wanita boleh menjadi perantara dalam menyampaikan dakwah kepada keluarga masing-masing berkaitan zakat supaya pada masa akan datang dapat melahirkan lebih ramai golongan pembayar zakat wanita," ujarnya.
Ditanya mengenai penyertaan LZS dalam karnival yang julung kali diadakan itu, beliau berkata, pihaknya telah menyediakan lori bergerak di tapak pameran bagi memudahkan orang ramai mendekati badan zakat tersebut.
Menurutnya, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktitivi antaranya membayar zakat selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai LZS.
"Mereka boleh bertemu dengan pegawai bertugas untuk bertanya mengenai bantuan, kutipan zakat atau persoalan yang sukar tanya sebelum ini.
"Jadi itu peluang mereka mendapatkan maklumat yang jelas lagi sahih," katanya.
Siti LZS insipirasi wanita
Menjadi antara golongan yang bertukar status daripada seorang penerima kepada pembayar zakat, Dr Siti Nor Raha Tuhaijan, 34, meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada LZS yang menyalurkan bantuan kepadanya sehingga berjaya membuka sebuah klinik perubatan.
Berkongsi kisahnya, anak kedua daripada tujuh adik beradik dari Banting, Selangor itu tidak menyangka bantuan yang disalurkan institusi zakat itu mampu membawanya ke tahap lebih baik dalam kehidupan.
"Saya dibesarkan oleh ibu sejak berusia 17 tahun. Selepas pemergian bapa, pelbagai bantuan yang diterima antaranya duit poket bulanan, bantuan komputer riba, sewa rumah dan yuran belajar.
"Saya amat bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan LZS yang memudahkan urusan semasa saya belajar hingga tamat pengajian di universiti.
"Menerusi bantuan tersebut, saya sebagai anak yatim tidak pernah rasa kekurangan jika dibandingkan dengan orang lain," katanya.
Beliau yang kini mengurus dan menjalankan perniagaan klinik di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, mengakui kehidupannya bertambah baik dan berazam mahu menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Sebagai bekas penerima zakat, saya berbesar hati untuk memberi khidmat percuma kepada golongan asnaf yang datang ke klinik.
"Ini antara cara saya menabur bakti dan memberi semula kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!