Rumah, kedai musnah dijilat api
SHAH ALAM - Sebuah rumah dan kedai di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.36 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit selepas itu.
Sebaik tiba katanya, kerja-kerja 'size up' telah dilakukan oleh petugas JBPM di kawasan berkenaan.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai dua tingkat dan rumah dua tingkat.
"Kedai berkeluasan 15x21 meter persegi telah terbakar 90 peratus, manakala rumah berkeluasan 9x21 meter persegi terbakar sebanyak 80 peratus," kata kenyataan itu pada Selasa.
Kata kenyataan itu, tiada mangsa dan individu tercedera dalam kejadian kebakaran tersebut.
Menurutnya, balai yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan dibantu oleh BBP Klang Utara serta BBP Bukit Jelutong.
Katanya, anggota bertugas membuat pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula, air daripada tangki pam jentera serta empat aliran 'breeching'.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman disambung oleh pasukan B sehingga api padam sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!