[VIDEO] Al-Sultan Abdullah zahir kebimbangan tanah di Pahang 'dijajah' pendatang asing

A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha kini telah disewakan kepada warga asing.

Titah baginda lagi, perbuatan itu dilakukan hanya demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit.

"Kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

"Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai 'tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada Selasa. Foto Istana Pahang
Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada Selasa. Foto Istana Pahang

Dalam istiadat itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima dan baginda dikurniakan darjah kebesaran Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) diikuti Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah mahu kerajaan Pahang memantau aktiviti itu dan mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan kegiatan seperti ini tidak lagi berlaku.

Baginda bertegas untuk tidak kompromi terhadap isu kemasukan warga asing yang menjajah negeri ini.

"Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakan amanah yang diberi ini dengan penuh integriti.

"Ingatlah! setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak," titah baginda lagi.

Baginda turut menyeru agar semua rakyat bekerjasama dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku yang berlaku.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ini adalah tanggungjawab bersama dan percayalah; 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

"Beta juga ingin kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands khususnya pembangunan- pembangunan pada masa akan datang.

"Hanya pendekatan yang holistik, tegas dan lestari sahaja dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab," titah baginda lagi.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan kepada semua pihak tidak kira sama ada pemerintah, pemain industri, komuniti setempat sehingga kepada setiap individu supaya berbanding bahu dalam memulihara alam sekitar.

Baginda bertitah, jangan biarkan keindahan bumi hijau ini terusik oleh pencemaran dan kecuaian.

"Alam kita adalah lukisan tuhan yang paling indah, jadilah penjaga seni yang baik. Keindahan alam bukan hanya memberi kita kehidupan semata-mata, tetapi turut menyediakan sumber daya yang kita perlukan untuk hidup.

"Sungai-sungai di Pahang adalah urat nadi kehidupan, ia bukan sahaja menyediakan bekalan air untuk pertanian dan kegunaan domestik, tetapi juga merupakan habitat pelbagai jenis flora dan fauna," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!