Tiada agenda putus hubungan dengan Gerakan - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (kiri) meninjau Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong, Kuala Terengganu, pada Selasa.
Ahmad Samsuri (kiri) meninjau Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong, Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hubungan kerjasama antara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) berjalan seperti biasa malah tiada sebarang agenda dibincangkan berhubung isu kerjasama antara kedua pihak.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara melibatkan hal dalaman parti itu akan diselesaikan secara baik dan tidak akan melibatkan pihak luar.

"Hubungan dengan Gerakan setakat ini tidak timbul apa-apa (masalah). (Berjalan) seperti biasa. Kita pun tiada bincang dalam mesyuarat untuk ambil langkah yang lain.

"Setakat ni tidak timbul agenda untuk dibincangkan. Mesyuarat belum lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memberitahu, isu tersebut lebih kepada hal dalaman parti politik masing-masing.

"Apa yang berlaku dalam keluarga kami, biar kami selesaikan cara keluarga dalam muafakat kami sendiri," ujar beliau.

Isu hubungan kerjasama itu timbul selepas Gerakan mempertahankan sumbangan dana syarikat minuman keras yang dibawa masuk ke dalam institusi pendidikan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan sewajarnya bertegas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan perlu kembali kepada polisi dan dasar sedia ada yang diamalkan kementerian sejak berpuluh tahun.

"Negara lain macam Australia pun ada dasar yang sama, tambahan pula budaya kita dengan isu pendidikan anak-anak muda yang perlu kita tekankan supaya mereka faham mana yang baik dan buruk," ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata, parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Perkara itu turut mendapat respons Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan mereka mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana kecewa dengan pendirian parti itu.

Kepimpinan Pas pula menyatakan tiada halangan sekiranya Gerakan mengambil keputusan untuk keluar daripada PN susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Memetik laporan portal media tempatan, Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah memberitahu terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan kerana setiap parti mempunyai hak dan pendirian masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!