Polis analisis rakaman CCTV insiden Syed Saddiq, Papagomo
KAJANG - Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa pihak polis telah menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan insiden antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengendali laman blog, Papagomo pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari tahun lepas.
Inspektor Nur Farah Syuhada Hamdan, 35, juruanalisa siasatan audio video di Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras berkata, hasil pemeriksaan beliau mendapati rakaman berdurasi beberapa saat tersebut kurang jelas kerana resolusi video asal adalah kecil.
Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian sewaktu dirujuk rakaman video semasa disoal balas peguam Logan Narayanan yang mewakili Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, selaku orang kena saman (OKS).
Menurut saksi itu, rakaman dalam bentuk cakera optik (DVD) tersebut diterimanya dalam keadaan baik bersama surat permohonan eksibit untuk pemeriksaan oleh pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi pada jam 3.15 petang, 16 Mei tahun lepas.
Nur Farah Syuhada berkata, beliau mengambil masa 30 minit untuk mengenal pasti imej-imej yang dikehendaki oleh pegawai penyiasat iaitu imej suspek (B1) sedang memeluk atau mencekak mangsa (A1).
“Setelah saya ‘capture’ imej-imej seperti yang dikehendaki pegawai penyiasat, proses ‘enhancement’ telah dilakukan bagi menjelaskan lagi imej-imejnya.
“Proses ‘enhancement’ tersebut dilakukan bagi meningkatkan kualiti gambar yang di’capture’. Selepas ‘enchancement’ dilakukan, imej yang terhasil adalah lebih jelas daripada rakaman asal,” katanya.
Dalam prosiding itu juga rakaman video beresolusi 848 x 480 piksel per inci hasil analisis pihak polis turut dimainkan di mahkamah.
Ketika ditanya Logan sekiranya beliau ada menyatakan nama kedua-dua A1 dan B1 seperti yang tertera di dalam imej, saksi itu berkata, tiada.
ARTIKEL BERKAITAN: Papagomo cengkam leher Syed Saddiq: Saksi
“Nama tidak perlu kerana berdasarkan arahan pegawai penyiasat, saya hanya diminta menganalisis perbuatan B1 memeluk dan mencekak A1 berdasarkan rakaman video iaitu barang kes yang diserahkan,” katanya.
Ditanya lanjut peguam Nik Saiful Adli Burhan sekiranya beliau ada melihat perbuatan memeluk atau mencekak oleh B1 terhadap A1, saksi itu berkata, tidak tahu tetapi tangan B1 ada di atas bahu A1 berdasarkan imej.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin, saksi itu sekali lagi menegaskan bahawa hasil analisis beliau tidak menyatakan nama-nama individu kerana analisisnya berdasarkan perbuatan individu di dalam rakaman tersebut.
Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada jam 11.05 pagi, 16 Februari tahun lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!