Tarik gelaran, jika ada salah laku: Al-Sultan Abdullah
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi peringatan kepada penerima darjah kebesaran supaya menjaga baik institusi beraja dan negara.
Baginda bertitah, setiap pingat yang dikurniakan bukanlah sekadar penghargaan tetapi sebagai simbol penghormatan.
Baginda bertegas setiap penerima pingat tidak menjadikannya asbab keangkuhan dan besar diri tetapi perlu menjaga nilai kesetiaan, kehormatan serta keadilan dalam setiap tindakan.
"Beta ingin ingatkan di sini, beta tidak sesekali berkompromi dan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan.
"Sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.
Baginda menzahirkan kesyukuran dengan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan Pahang kini berada di landasan yang tepat bagi menjayakan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Al-Sultan Abdullah mahu kerajaan memastikan pelaksanaan projek pembangunan diselia dengan teliti dan terancang bagi menghindari pembaziran, ketirisan yang boleh menjejaskan sumber kewangan negeri.
"Beta begitu optimis dengan manfaat ekonomi yang akan berlipat kali ganda, setelah projek Laluan Rel Pantai Timur (ERCL) dan Laluan Tengah Utama (lTU) selesai pada akhir tahun 2026.
"Semoga pembangunan ini mampu memberi impak yang positif kepada sumber pendapatan negeri," titah baginda lagi.
Selain itu, baginda bertitah kes pemerdagangan dan penyeludupan migran merupakan isu yang perlu dipandang serius kerana jika tidak ditangani dengan baik, impaknya tidak hanya kepada ancaman keselamatan tetapi juga kepada keharmonian sosial, ekonomi dan sektor pembangunan lain.
“Beta disembah maklum bahawa terdapat sindiket yang menjadikan Pahang sebagai transit jenayah ini sama ada menerusi jalan darat mahupun laut.
"Sehubungan dengan itu, beta mahukan semua agensi penguat kuasa untuk bertindak lebih agresif dan berterusan bagi membanteras jenayah ini secara efektif,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!