PRK Nenggiri: Jentera BN, PH kena kerja keras lawan fitnah pembangkang
GUA MUSANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bekerja keras dalam melawan fitnah pembangkang terutama berkait dengan penyasaran subsidi diesel pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Beliau berkata, gabungan itu sudah menjangkakan Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu-isu yang sama sewaktu PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum ini.
"Mereka gunakan isu itu sebagai bahan untuk menang di PRK Sungai Bakap, tetapi kita lihat di Gua Musang cukup rasional terutama Orang Asli.
"Kita telah santuni kumpulan ini di lima buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) berkait dengan rasionalisasi subsidi diesel dan mereka telah menerima penjelasan itu," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa di Kuala Betis-Pos Bihai-Pos Belatim-Pos Balar-Poshau-Kuala Betis dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, Nenggiri di Dataran Kejat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis di sini pada Selasa.
Menurut beliau, penjelasan kepada penduduk di sembilan kampung tradisional akan turut diberikan.
Ujarnya, fitnah dan tohmahan, lemparan kebencian memang dijalankan oleh pihak lawan ditambah pula sepanjang PRK.
Ahmad Zahid memberitahu, apapun fitnah yang dibuat jentera parti akan memberi penjelasan dan lontaran kembali untuk menjawab isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!