[VIDEO] 'Hentikan polemik sumbangan syarikat arak' - Fadhlina

A
A
A

SEREMBAN - Semua pihak diharap dapat menghentikan polemik berhubung tajaan dan sumbangan syarikat minuman keras kepada sekolah vernakular.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mesyuarat Jemaah Menteri telah pun membuat keputusan untuk mengekalkan garis panduan sedia ada dan ia adalah yang terbaik untuk semua pihak.

Beliau berpendapat, tidak ada apa-apa lagi isu berbangkit mengenai perkara terbabit dan pihaknya kekal dengan penegasan dibuat sebelum ini.

"Saya fikir sudah cukup dengan penegasan dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan melalui kenyataan media KPM, maknanya ia yang terbaik untuk semua.

"Jadi saya ingat kita dah boleh hentikan polemik ini dan beri tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting dan lebih besar," katanya ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Fadhlina melawat pameran pada majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di Seremban pada Selasa.
Fadhlina melawat pameran pada majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di Seremban pada Selasa.

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Zain Al-Abidin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang.

Foto beliau di atas pentas bersama kain rentang memaparkan logo jenama arak menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik yang turut membangkitkan garis panduan KPM berkait sumbangan syarikat arak kepada sekolah.

Fadhlina (tengah) ditemui pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.
Fadhlina (tengah) ditemui pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan perkara terbabit tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!