Pekerja maut terjatuh dari skylift

Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter ke lantai ketika menjalankan aktiviti pemasangan anak tangga di sebuah kilang pembuatan pada Khamis lepas. Gambar hiasan.
Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter ke lantai ketika menjalankan aktiviti pemasangan anak tangga di sebuah kilang pembuatan pada Khamis lepas. Gambar hiasan.
A
A
A

PERAI - Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter ke lantai ketika menjalankan aktiviti pemasangan anak tangga di sebuah kilang pembuatan pada Khamis lepas.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, pekerja warga asing berusia 21 tahun itu dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan.

Berikutan kejadian itu, sepasukan pegawai penyiasat dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKP) telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan tersebut.

Jurucakap JKKP berkata, siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan tangga bagi kawasan naik taraf bangunan di kilang tersebut.

"Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan naik ke platform setinggi 5.2 meter menggunakan skylift untuk mengetat skru di platform tersebut.

"Mangsa disyaki tergelincir ketika menjalankan kerja tersebut lalu terjatuh ke lantai dan dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 27 Julai lalu," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Beliau berkata, pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, dan membuat pembentangan kes kepada jabatan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Beliau berkata, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

"Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Jabatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!