CIJ, Artikel 19 cadang kerajaan tubuh majlis media sosial

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan majlis media sosial sebagai usaha mempromosikan kerangka pengawal seliaan bebas melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Artikel 19 dalam kenyataan bersama berkata, syor tersebut merupakan antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam menangani isu kandungan berbahaya di platform media sosial dan melindungi pengguna secara lebih berkesan.

“Kedua, menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji punca utama ucapan kebencian dan buli siber dan seterusnya membangunkan pelan tindakan komprehensif, menggunakan Rancangan Tindakan Rabat sebagai kerangka kerja.

“Ketiga, meningkatkan program pendidikan dan kesedaran yang bertujuan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan berpandukan standard penciptaan kandungan yang beretika dan bertanggungjawab, serta literasi digital yang mencukupi untuk memerangi kandungan berbahaya,” kata kenyataan itu pada Selasa.

No Image Caption

Pada Sabtu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).

SKMM memaklumkan langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, perkembangan kerajaan dilihat sebagai percubaan untuk mengawal platform media sosial dan mempunyai implikasi yang luas terhadap kebebasan bersuara, seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, kerajaan mesti mempertimbangkan semula rancangan semasa dan berunding dengan lebih komprehensif dengan pertubuhan-pertubuhan organisasi masyarakat sivil (CSO) demi mencapai hasil lebih baik dalam menangani kandungan media sosial yang berbahaya.

“Ini diperlukan kerana menangani kandungan berbahaya secara berkesan melangkaui hanya penyederhanaan kandungan, sebaliknya turut melibatkan penanganan punca utama isu seperti ucapan kebencian, buli siber, dan keganasan berasaskan jantina.

“Bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat Madani boleh memberikan pandangan mengenai masalah masyarakat dan sistemik lebih luas yang menyumbang kepada kandungan berbahaya serta membantu membangunkan strategi yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk mengurangkan cabaran ini,” kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!