Prasarana perkenal platform SPEEKI untuk kekalkan ketelusan
PETALING JAYA - Pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas di Lembah Klang, Kuantan dan Pulau Pinang, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan platform penyaluran pemberi maklumat terbaharu yang dinamakan SPEEKI.
Prasarana berkata, SPEEKI disediakan bagi menegakkan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam Prasarana.
“Ini juga untuk mengekalkan ketelusan dalam urusan pemilihan serta segala aktiviti bersama pihak vendor. Platform SPEEKI tidak terhad kepada kakitangan Prasarana, malah merangkumi pihak vendor, pihak perunding dan orang awam.
“SPEEKI boleh diakses melalui aplikasi mobil yang boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit ataupun menerusi laman web https://portal.speeki.com,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Prasarana 2024.
Prasarana berkata, poster platform SPEEKI turut disampaikan kepada wakil-wakil vendor yang hadir pada majlis berkenaan.
Kata Prasarana, pihaknya terus komited dalam memacu syarikat berlandaskan piawaian integriti yang tertinggi.
“Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan yang menitikberatkan nilai integriti, Prasarana tekad menerapkan Budaya Tatakerja dalam kalangan kakitangan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Ini ditekankan kepada setiap warga kerja agar cakna akan kepentingan integriti sebagai tanggungjawab individu.
“Budaya Tatakerja Prasarana merupakan prinsip panduan dalam membentuk tingkah laku dan keputusan seluruh warga kerja Prasarana, terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan integriti dan antirasuah,” ujarnya.
Prasarana menambah, Hari Integriti Prasarana 2024 dilancarkan bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai integriti secara berterusan.
Ketika majlis tersebut, Prasarana turut menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Acara berkenaan disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Risiko Tatakelola dan Pematuhan Prasarana, Datuk Seri Mustafar Ali.
Bagi menzahirkan sifat keterbukaan dan kebertanggungjawaban warga kerja Prasarana, seramai 600 orang wakil kakitangan Prasarana telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah itu.
Majlis sambutan Hari Integriti Prasarana berkenaan turut menyaksikan lima kakitangan syarikat itu menerima Anugerah Integriti 2024 atas sumbangan mereka dalam mengesan, mengenal pasti, melaporkan serta mengambil tindakan wajar terhadap penemuan salah laku yang bertentangan dengan nilai serta etika integriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!