PDRM sahkan dua rakyat Malaysia ditahan seludup dadah RM3.7 juta di Maldives

Datuk Seri Khaw Kok Chin
Datuk Seri Khaw Kok Chin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan dua rakyat Malaysia yang cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak berkuasa Maldives berhubung perkara itu.

“Kita sudah menghubungi dengan pihak berkuasa Maldives dan mereka mengesahkan terdapat dua tangkapan terbabit sepertimana dalam media.

“Maklumat serta butiran kes akan disalurkan secepat mungkin oleh pihak berkuasa Maldives kepada JSJN,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut Kok Chin, siasatan itu dilakukan pihak berkuasa Maldives memandangkan tangkapan berlaku di negara itu.

“JSJN akan membantu sekiranya diminta bantuan daripada pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.

Memetik agensi, polis Maldives dilaporkan berkata, pegawai Kastam negara itu menemukan 15 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi, Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.

Siasatan menunjukkan kemungkinan kaitan suspek dengan individu dari empat negara berbeza yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Rampasan ganja itu adalah yang terbesar di Maldives tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!