WCIT pusat rujukan negara OIC

Perak mampu menjadi pusat ilmu menerusi WCIT sebagai rujukan buat negara Islam dalam OIC. Foto Bernama
Perak mampu menjadi pusat ilmu menerusi WCIT sebagai rujukan buat negara Islam dalam OIC. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak mampu menjadi pusat ilmu menerusi Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) sebagai rujukan buat negara Islam di dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, WCIT yang sudah memasuki penganjuran ketujuh sememangnya diketahui oleh rakyat di negara ini malah dunia apabila menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, rentetan penganjuran itu juga, tidak mustahil bandar seperti Kuala Kangsar mampu diangkat seperti bandar Davos di Switzerland yang menjadi lokasi tahunan bagi Forum Ekonomi Dunia (WEF).

"Saya meletakkan Kuala Kangsar sebab Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memang berhasrat untuk menjadikan Perak ini sebagai satu negeri berpusatkan ilmu dan lebih lagi ialah Kuala Kangsar.

"Jadi kita mahu jadikan Kuala Kangsar itu seperti Davos bagi negara-negara Islam. Bayangkan kalau kita ada semua negara-negara OIC di sini berbincang banyak perkara seperti isu kemiskinan, teknologi dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Forum Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.

Noor Azlan berkata, lebih banyak program susulan WCIT boleh dilaksanakan seperti pembangunan dan latihan buat negara-negara Islam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Maldives, Ahmed Ameen Mohamed berkata, WCIT merupakan medan penting dalam menyatukan idea dalam membantu negara-negara Islam.

Artikel Berkaitan:

"Persidangan ini amat menarik dengan kehadiran tokoh-tokoh ilmuan dan pakar-pakar antarabangsa dari pelbagai negara. Saya sangat gembira dapat hadir dan mendapatkan maklumat daripada mereka.

"Masalah yang berlaku dalam kalangan negara Islam ketika ini ada konflik dalam kalangan ummah disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan ilmuan. Disebabkan perbezaan ini wujudkan kumpulan tertentu.

Platform ini saya percaya, kita perlu menghormati semua agama dan komuniti Islam yang ada. Melalui persidangan ini kita berkongsi pelbagai maklumat yang boleh digunakan oleh masyarakat pelbagai agama dan budaya," katanya.

Hari kedua WCIT dimulakan dengan sesi forum bertajuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan dengan panel Noor Azlan; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam dan Jaringan Kebebasan, Dr Ali Salman dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Dr Sandiaga Salahuddin Uno.

No Image Caption



Sesi kedua forum yang bertajuk Rule of Law menampilkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum; Presiden Institut Maqasid Global, Prof Dr Jasser Auda; Penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman Universiti Malaya, Prof Emiretus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Ketua Pembangunan Korporat Yayasan Temasik Singapura, Amrin Amin.

Ia diikuti dengan forum Peranan Utama Ekonomi Halal Malaysia dalam Membina Ekosistem Halal yang Teguh dan Mampan melibatkan perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Hairol Ariffein Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma Biotech Berhad, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid.

Lebih menarik lagi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut hadir Program Bual Bicara Suara Keadilan: Dari Kaca Mata Naledi Pandor dalam Perjuangan Palestin yang disampaikan bekas Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Dr Grace Naledi Mandisa Pandor.

WCIT 2024 akan meneruskan hari terakhirnya pada Rabu dengan tiga lagi sesi forum iaitu Tadbir Urus dan Integriti, Seni dan Kemanusiaan serta Teknologi Hijau dan Kemampanan Alam Sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!