Melaka tetap garis panduan baharu penceramah

Rahmad (tengah) menyampaikan sijil pentauliahan kepada seorang penceramah selepas majlis penutupan Program Wacana Hadis Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Jalan Hang Tuah pada Selasa.
Rahmad (tengah) menyampaikan sijil pentauliahan kepada seorang penceramah selepas majlis penutupan Program Wacana Hadis Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Jalan Hang Tuah pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Penceramah agama tempatan atau jemputan di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Mufti Negeri Melaka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibenarkan berceramah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, garis panduan baharu itu dibuat agar pihaknya tidak lagi menerima aduan kecil berhubung penceramah tidak mendapat pentauliahan seperti yang berlaku di beberapa surau sebelum ini.

Menurutnya, panduan baharu itu memerlukan penceramah mendapat pentauliahan dari Jabatan Mufti terlebih dahulu sebelum memohon kelulusan daripada pihak PBT.

Malah katanya, pihak berwajib juga teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penceramah dan juga penganjur yang terlibat melanggar garis panduan baharu itu.

"Jika peraturan itu tidak dipatuhi mana-mana penceramah, maka mereka tidak akan dibenarkan sama sekali untuk mengadakan ceramah sama ada di surau atau masjid serta mana-mana lokasi di negeri ini.

"Ada surau yang kita terlepas pandang tetapi apabila kita mendapat tahu mereka melanggar peraturan yang ditetapkan tindakan telah diambil terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Wacana Hadis Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Jalan Hang Tuah dekat sini pada Selasa.

Sementara itu, dalam ucapannya, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, Jabatan Mufti terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merampas hadis dan al-Quran palsu yang dijual di pasaran tempatan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita memandang serius penyebaran hadis dan al-Quran palsu dan usaha membendung penyebarannya giat dijalankan bersama KDN serta agensi berkaitan termasuk bantuan daripada masyarakat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!