Helikopter tentera Kemboja hilang ditemukan, dua juruterbang maut

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

PHNOM PENH - Sebuah helikopter tentera Kemboja, yang hilang pada 12 Julai, ditemukan di pergunungan Cardamom pada Isnin, dengan kedua-dua individu di dalamnya disahkan meninggal dunia, kata jurucakap pertahanan pada Selasa.

"Pada 10.30 pagi waktu tempatan pada 30 Julai 2024, pasukan mencari Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF) menemukan mayat juruterbang Sun Phalla di kaki Gunung Yav Yai, kira-kira 210 meter dari lokasi nahas itu," kata Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Pertahanan Negara, Jeneral Chhum Socheat dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut Socheat, mayat pembantu juruterbang, Kheng Chhaiyuth ditemukan pada Isnin kira-kira pada 5 petang waktu tempatan di dalam helikopter yang terhempas.

"Saya terkejut dan sedih dengan berita kematian kedua-dua juruterbang itu dan berdoa agar roh mereka tenang," kata jurucakap itu.

Pasukan mencari menemukan helikopter yang hilang di Gunung Yav Yai di komun Thmor Da di daerah Veal Veng di wilayah Pursat pada petang Isnin selepas operasi pencarian selama 17 hari.

Helikopter itu terputus hubungan dengan ibu pejabat tentera udara ketika terbang di kawasan hutan tebal di pergunungan Cardamom di wilayah Pursat dan Koh Kong semasa penerbangan latihan pada 12 Julai akibat cuaca buruk, menurut Kementerian Pertahanan Negara.

Timbalan ketua komander RCAF Jen Ith Sarath yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat, berkata lebih 1,000 anggota tentera darat dan udara mengambil bahagian dalam operasi itu. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!