Kempen Kesedaran Abilympics mampu hantar peserta berprestasi tinggi

Khatijah (lima dari kiri) dan Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob (lima dari kanan) bergambar bersama ketika Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Abilympics pada Jumaat.
Khatijah (lima dari kiri) dan Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob (lima dari kanan) bergambar bersama ketika Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Abilympics pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Kesedaran Abilympics diharap membolehkan negara menghantar kumpulan peserta yang berprestasi tinggi sempena penganjuran Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-11 yang dijadualkan bermula pada 2027.

Presiden Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), Datin Khatijah Sulieman berkata, pelaksanaan kempen tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran tentang penganjuran yang akan datang, iaitu pertandingan pemilihan kebangsaan dan peringkat antarabangsa.

Khatijah berkata, pihaknya percaya bahawa pertandingan kemahiran Abilympics adalah platform berkesan untuk pelbagai manfaat termasuk membina kemahiran dan kecekapan orang kurang upaya (OKU) melalui latihan yang disediakan serta diterjemah kepada prestasi lebih baik.

“Memberi nilai yang signifikan kepada keperluan untuk memperoleh kemahiran pekerjaan sebagai jalan ke arah kemakmuran ekonomi dan mobiliti sosial untuk OKU.

“Mengiktiraf pertandingan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan menjadi alatan untuk pekerjaan pekerja dan meningkatkan pertumbuhan pekerjaan

“Menyediakan merit pencapaian hidup untuk OKU,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khatijah berkata, Kempen Kesedaran Abilympics itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas dari pelbagai pemegang taruh dan data bagi menambah baik rancangan yang telah diatur.

“Dari perspektif lain, secara langsung dan tidak langsung Abilympics adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Jakarta mengenai Dekad OKU di Asia dan Pasifik 2023-2032.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, Abilympics walaupun dalam skala kecil, ia adalah sebuah program yang berimpak besar.

“Pada kesempatan ini, MCR ingin mendapatkan sokongan dari pelbagai pihak bagi menjayakan rancangan yang telah disusun,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran kempen yang membuka tirai kepada gerak kerja penyertaan Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-11 itu menunjukkan komitmen Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) dalam menyokong aktiviti-aktiviti ahli gabungannya.

“Kerjasama ini akan diperluaskan antara MCR dengan ahli-ahli gabungan MAKPEM yang lain, terutamanya ahli di peringkat negeri.

“Ini kerana MCR akan kembali menjelajah ke seluruh Malaysia untuk berkongsi maklumat mengenai persiapan yang diatur untuk menyertai Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-11,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!