Kolam Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin tercemar e-coli

Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru pada Selasa disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli.
Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru pada Selasa disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kandungan air dalam kolam renang dan kolam terjun di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini disahkan mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perkara itu disahkan selepas keputusan sampel air yang dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad diperoleh pada pagi Selasa.

"Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, kesemua sembilan sampel telah tercemar oleh bakteria e- coli.

"E-coli ialah spesies bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan haiwan yang boleh menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan yang tercemar dengan najis membawa bakteria," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pantri Kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Selasa.

Pada Khamis, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hairi berkata, beliau kesal dengan pihak pengurusan kolam terbabit yang tidak membuat persiapan sewajarnya, sehingga menyebabkan 19 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 pada Khamis lalu mengalami gejala tidak sihat.

"Saya turut meminta pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat siasatan berhubung insiden berkenaan.

"Saya juga meminta agar Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) terus berhubung dengan MSNJ untuk sukan di peringkat sekolah agar dapat nasihat berhubung penggunaan fasiliti aset sebelum kejohanan berlangsung," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!