Belanjawan 2025: KDN usul lebih banyak Baitul Mahabbah
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengusulkan lebih banyak lagi pembukaan Baitul Mahabbah atau penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usul itu akan dikemukakan kementerian menjelang Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober depan.
"KDN akan mengusulkan lagi pembukaan Baitul Mahabbah untuk mengeluarkan 1,300 kanak-kanak dari depoh tahanan Imigresen," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar sempena sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) di sini pada Selasa.
Menurutnya, kementerian berharap agar sekurang-kurangnya enam lagi Baitul Mahabbah dibuka menerusi peruntukkan di dalam Belanjawan 2025.
"Kami harap enam lagi," kata ujar Saifuddin.
Beliau berkata, kanak-kanak yang ditahan di Baitul Mahabbah berpeluang mendapat pendidikan tidak formal selain diberi penjagaan kesihatan diri.
"Mereka boleh beraktiviti dan bermain dengan jauh lebih baik berbanding ditempatkan terus tahanan dewasa yang lain," ujar beliau.
Setakat ini Baitul Mahabbah beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Bekenu; Sarawak.
Tiga lagi dalam perancangan untuk dibuka tahun ini di Kedah, Kelantan dan Johor yang membabitkan peruntukkan RM10 juta.
Sementara itu, ditanya mengenai kapasiti semasa Baitul Mahabbah, Saifuddin memaklumkan 170 kanak-kanak berusia 10 tahun berada di tiga penempatan tersebut.
"Mereka berada di sini dua hingga lima bulan sehingga pihak kedutaan menyelesaikan dokumen perjalanan.
"Daripada 170 kanak-kanak, sebahagian telah pun dihantar pulang," jelas beliau.
Pada perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, KDN melancarkan Sistem Data Bersepadu (MIDS) MAPO bagi meningkatkan usaha antipemerdagangan manusia.
Ujarnya, MIDS berfungsi untuk memperkemas dan memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai isu antipemerdagangan manusia melalui set data yang ada.
"Data jika dibiarkan mentah, tidak memberi manfaat tetapi jika diproses dan dianalisis, kami boleh mengeluarkan model ramalan.
"Selepas kami menganalisis data, ia menunjukkan terdapat risiko atau masalah, kami boleh mengesan isu itu lebih awal," katanya sambil menambah ia membantu kementerian menggubal dasar yang lebih lengkap.
Pada Jun, Malaysia telah dinaik taraf kepada Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2024 (TIP) terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!