Muzium Terengganu pamer Harley Davidson 1916 C
KUALA TERENGGANU - Pameran pelbagai jenis motosikal klasik di Dewan Mandalika dan ruang foyer Muzium Negeri Terengganu bermula 1 Julai hingga 31 September depan mengimbau nostalgia bidang permotoran di negara ini.
Pengarah Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, sebanyak 43 buah motosikal lama yang setiap satunya mempunyai nilai sentimental tersendiri dipamerkan di ruangan tersebut.
Menurutnya, selain dapat melihat secara dekat pelbagai jenis motosikal klasik, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat bagi setiap motosikal yang dipamerkan di situ.
"Terdapat pelbagai jenis motosikal dipamerkan di sini antaranya jenis motosikal klasik dan retro dari Harley Davidson, Triumph, Norton, BSA, AJS, Honda, Kawasaki dan banyak lagi.
"Motosikal paling lama yang dipamerkan di sini ialah motosikal jenis Harley Davidson 1916 C di mana nilainya kini mencecah RM150,000," katanya ketika ditemui sempena pameran Muto & Kenangan dekat sini pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Che Muhammad Azmi, orang ramai yang berkunjung ke situ berpeluang mengetahui sejarah dan fungsi motosikal lama.
Selain itu, katanya, ia juga memberikan nilai sentimental terhadap koleksi motosikal yang sekali gus dapat menyuntik kesedaran masyarakat terutama generasi muda mengenai aspek keselamatan dan perundangan.
"Koleksi serta foto-foto lama motosikal klasik dan retro mencuri tumpuan pengunjung kerana ia mengembalikan pengalaman dan budaya bermotosikal dalam kehidupan masyarakat sebelum ini.
"Ia sekali gus memberi pendidikan kepada generasi baharu khusus dalam aspek keselamatan dan perundangan di jalan raya," ujarnya.
Sebuah motosikal berupaya membawa seorang penunggang serta seorang pembonceng dengan menggunakan kuasa enjin petrol kecil sama ada enjin dua atau empat lejang dengan kapasiti enjin antara 50cc hingga 2000cc.
Kenderaan beroda dua itu digunakan secara lebih meluas suatu ketika dahulu bagi tujuan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!