Dua lelaki maut dalam pembetung disyaki pencuri kabel - Polis

Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. - Foto Astro Awani
Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. - Foto Astro Awani
A
A
A

KUBANG PASU - Dua lelaki yang ditemui maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting, pada Selasa adalah pencuri kabel.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan polis menemui kesan kabel dari sebuah syarikat telekomunikasi telah dipotong sebelum kedua-dua suspek terperangkap di dalam lubang sedalam enam meter.

“Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang itu dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Berikutan itu, pihak polis menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit dan pihak Bomba untuk memaklumkan perkara itu.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui dua lelaki terbabit dipercayai terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira enam meter itu.

"Polis memanggil bantuan daripada pihak bomba untuk membawa naik mayat dua lelaki terbabit disebabkan keadaan lubang itu agak dalam dan kekurangan oksigen," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menurut Rodzi, dua lelaki itu dipercayai sudah berjaya memotong kabel syarikat telekomunikasi itu pada lubang pertama yang jaraknya kira-kira 30 meter dari lubang kedua.

Bagaimanapun katanya, ketika hendak memotong kabel di lubang kedua, mereka dipercayai terperangkap dan mati akibat tiada oksigen.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!