197 kotak babi sejuk beku lari cukai dirampas di jeti haram

Daging babi sejuk di dalam kotak yang dirampas hasil serbuan di sebuah jeti haram di kawasan Telok Kabong, Pasir Gudang, pada pagi Selasa. - Foto PDRM
Daging babi sejuk di dalam kotak yang dirampas hasil serbuan di sebuah jeti haram di kawasan Telok Kabong, Pasir Gudang, pada pagi Selasa. - Foto PDRM
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebanyak 197 kotak daging babi sejuk beku dirampas hasil serbuan di sebuah jeti haram di kawasan Telok Kabong dekat sini pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan pada jam 6.30 pagi itu dilakukan Polis Marin Wilayah Dua Johor bersama bahagian penguatkuasaan Kastam Pengerang.

"Hasil daripada serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 55 tahun ditahan kerana memiliki 197 kotak berisi daging babi sejuk beku tidak bercukai yang dibawa masuk dari luar negara.

"Polis turut merampas bot fiber biru, enjin bot dan lori. Nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM337,750," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Sohaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat agar menghentikan kegiatan ini kerana boleh menyebabkan kerugian kepada negara.

"Anggota masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan agar keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!