Epidemik polio diisytiharkan di Gaza

Khemah sementara penduduk Gaza yang serba daif menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit berjangkit. - Foto: AFP
Khemah sementara penduduk Gaza yang serba daif menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit berjangkit. - Foto: AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Kementerian Kesihatan di Genting Gaza telah mengisytiharkan epidemik polio ketika perang genosid dilancarkan Israel berlarutan lebih 10 bulan di wilayah tersebut yang kini berdepan kebinasaan teruk.

Menerusi pengumuman pada Isnin, kementerian itu memaklumkan situasi tersebut menimbulkan ancaman kesihatan terhadap penduduk Gaza dan negara jirannya.

“Ia jelas menunjukkan 'kegagalan' program pembasmian polio global,” ujarnya.

Kementerian itu turut menggesa campur tangan segera untuk mencari penyelesaian radikal kepada isu kekurangan bekalan air boleh diminum dan kit kebersihan diri, rangkaian sistem kumbahan yang musnah dan langkah melupuskan sampah sarap serta sisa pepejal.

Difahamkan, virus polio dikesan pada sampel kumbahan di enklaf tersebut ketika rejim Zionis terus melancarkan ofensif dan memaksa pemindahan penduduk Palestin.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang peningkatan risiko penyebaran virus polio di seluruh Gaza yang berpotensi merebak ke peringkat antarabangsa pada kadar yang amat tinggi.

Ketika ini, ribuan penduduk Palestin yang terpaksa bersesak di 'bandar khemah' juga terdedah kepada penyakit berjangkit yang mengakibatkan kecacatan dan kelumpuhan.

Petugas perubatan di Gaza memberitahu penyakit seperti kudis, cacar air, ruam pada kulit dan serangan kutu juga merebak dengan cepat dalam kalangan populasi yang hilang tempat tinggal itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran tentang risiko penyakit seperti kolera yang berpotensi menjadi epidemik di Gaza. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!