MIT Pahang 2024 sasar perkasa industri pelancongan ke tahap global

(Empat dari kanan, bawah) Leong Yu Man bersama rakan kerjasama bagi program ketika Majlis Pelancaran MIT Pahang 2024 pada Selasa.
(Empat dari kanan, bawah) Leong Yu Man bersama rakan kerjasama bagi program ketika Majlis Pelancaran MIT Pahang 2024 pada Selasa.
A
A
A

MALAYSIA International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 Oktober ini dijangka mampu memperkasa industri pelancongan negeri berkenaan agar terus relevan dan berkembang maju sehingga ke peringkat global.

Menerusi satu kenyataan Tourism Pahang berkata, program yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah Kuantan itu bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Tema yang dibawa pada tahun ini adalah 'Sustainable Tourism, The Way Forward' dan ia merupakan platform terbaik buat penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara untuk bertukar pendapat serta membuka peluang perdagangan dalam industri Pelancongan.

"Bukan itu sahaja, ianya juga menjanjikan peluang yang luas dalam aspek ekonomi, budaya dan dimensi pelancongan yang strategik secara global," katanya pada Selasa.

Majlis Pelancaran MIT Pahang 2024 telah berlangsung di Bilik Cy@M, Aras M, Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, pada Selasa.

Mengulas lanjut kenyataan tersebut memaklumkan, program berkenaan turut menjangkakan sambutan penyertaan memberangsangkan membabitkan 100 pembeli premium yang ditaja, 900 pembeli global, persatuan dan organisasi pelancongan terkemuka serta lebih 10,000 pelawat industri tersebut.

Tambahnya, antara objektif penganjuran MIT Pahang 2024 adalah menyediakan platform 'business to business' (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama antara satu sama lain.

"Ia juga bertujuan untuk menawarkan seminar dan bengkel kepada pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan pengetahuan. Selain itu, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mendapatkan sumber serta transaksi perniagaan di kalangan peserta pameran dan pembeli.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya, menggalakkan kemampanan, menyokong amalan pelancongan bertanggungjawab yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan penduduk tempatan serta memastikan daya maju jangka panjang pembangunan pelancongan di rantau ini," jelasnya.

Dalam pada itu, antara aktiviti yang dirancang sepanjang MIT Pahang 2024 berlangsung adalah pameran pelancongan melibatkan penyertaan seluruh negeri di Malaysia, penyertaan dari negara rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia.

Ujarnya, penganjuran seminar pelancongan bagi membincangan isu-isu pelancongan dari pakar industri pelancongan pelbagai negara turut diadakan.

"Kita juga akan melaksanakan sesi ‘Business to Business’ (B2B) bagi memudahkan rangkaian dan interaksi perniagaan di kalangan pembeli dan penjual industri pelancongan termasuk makan malam GALA di Club Med, Cherating.

"Yang terakhir adalah pertunjukan persembahan kebudayaan yang mempamerkan tarikan dan keunikan negeri Pahang," kata kenyataan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!