Proeight dapat kepercayaan syarikat minyak, gas Arab Saudi
KEJAYAAN mencipta banyak fasiliti pembuatan alatan dan pembaikpulih pam berkualiti tinggi antara faktor sebuah syarikat minyak dan gas dari Arab Saudi, Safari Oil and Gas (SOG) berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat Proeight Sdn Bhd (Proeight).
Proeight, syarikat milik penuh bumiputera yang mempunyai kepakaran kumpulan kejuruteraan berpengalaman dalam mencipta pam bebas kerosakan akibat pasir berjaya menggantikan produk dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang sebelum ini digunakan oleh syarikat minyak dan gas di negara Arab itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proeight, Ir Azhar Zainal Abidin, berikutan kejayaan itu, pihaknya mendapat kepercayaan SOG untuk menjalin kerjasama bagi rangka kerja lebih meyakinkan dalam mengeluarkan produk berasaskan pam yang berkualiti.
“Biasanya, syarikat minyak dan gas termasuk SOG di Arab Saudi menggunakan peralatan dari AS dan Eropah untuk mesin mereka. Tetapi, selepas melihat kejayaan kami menghasilkan pam yang lebih baik, mereka menyatakan minat.
“Alatan pam dan pembaikpulih pam keluaran Proeight ternyata dapat menggantikan semua produk dari negara lain. Inilah adalah hasil kejayaan dari penyelidikan dan pembangunan kami untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mengeluarkan produk berinovasi serta berteknologi tinggi.
“Apabila mendapat kepercayaan ini, kita bersetuju menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) dengan mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum antara Proeight dan Safari Oil & Gas di pejabat Proeight Manufacturing & Refurbishment Centre dekat sini pada Selasa.
Ir Azhar bagi pihak Proeight telah menandatangani dan bertukar dokumen kerjasama dengan CEO SOG, Ali A Al-Azman.
Turut hadir menyaksikan majlis penting itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Proeight, Mohamed Effei Ramli; Pengurus Projek SOG, Faheem Ullah; dan Jurutera Aplikasi Proeight, Akmal Farhan Azhar.
Menurut Ir Azhar, selepas MoU itu, pihaknya merancang untuk menghantar pegawai profesional iaitu sekumpulan jurutera ke Arab Saudi dalam usaha memperkembangkan perniagaannya.
“Setakat ini, SOG satu-satunya syarikat tunggal di Arab Saudi yang bekerjasama dengan kita. Mereka memang sebuah syarikat gas dan minyak terkenal, berdaftar serta terbesar.
“Ada beberapa syarikat lain hendak bekerjasama, tetapi kita lihat SOG ini lebih meyakinkan kita kerana ia adalah sebuah syarikat yang sangat kuat, teguh dan mempunyai rangkaian dengan kerajaannya,” kata beliau.
Jelasnya lagi, penyelidikan dan pembangunan antara Proeight dengan SOG sudah berlangsung dalam tempoh hampir dua tahun dan baru hari ini kedua-dua mereka memeterai perjanjian kerjasama.
Beliau tidak menolak kemungkinan bakal mempunyai kilang di Arab Saudi dalam jangkamasa lima tahun akan datang, walaupun Qatar antara negara pengeluar minyak pertama yang menganugerahkan kepercayaan kepada Proeight.
“Kita akui, Qatar adalah negara pertama yang menjadi tumpuan, Malah, Menteri Tenaga negara itu telah menganugerahkan satu kepercayaan kepada kita untuk membuka kilang yang sama seperti ini di sana.
“Bagaimanapun, kita akan mulakan di Arab Saudi dulu, sebab di sini kita sudah ada rakan kongsi, manakala di Qatar kita perlu buat penyelidikan dahulu, walaupun tanah sudah diberi oleh kerajaannya,” kata beliau.
Ditanya kenapa Proeight memilih SOG, Ir Azhar berkata, sebabnya negara itu memegang kira-kira 17 peratus daripada rizab minyak dunia, menjadikannya pemegang kedua terbesar di dunia.
Katanya, negara itu juga secara konsisten merupakan salah satu pengeluar minyak terkemuka dunia, dengan berjuta-juta tong dikeluarkan setiap hari.
“Jalinan pengenalan dengan SOG bermula tahun 2022 lagi apabila mereka menunjukkan minat terhadap Proeight dan datang melawat kilang ini untuk melihat sendiri fasiliti pembuatan alatan pam dan pembaik pulih pam.
“Kunjungan mereka seterusnya merapatkan lagi hubungan perniagaan sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!