Tiga keldai akaun ditahan, mangsa rugi lebih RM300,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan kerugian RM307,816 dalam kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua mereka berusia 30 hingga 38 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini semalam.

Beliau berkata, kesemua tiga suspek itu ditahan susulan laporan polis dibuat tiga individu yang menjadi mangsa dan hasil maklumat awam serta risikan dijalankan pihak polis.

"Dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan pelaburan dalam talian yang tidak wujud berkait laporan di Sungai Pinang.

"Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM132,844.45 sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Kamarul Rizal berkata, kes kedua pula melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 32 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan melalui telefon yang menyamar sebagai pegawai polis melalui dalam talian.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa di Bayan Baru yang memaklumkan dia membuat pemindah wang secara dalam talian ke akaun bank membabitkan RM101,000 kerana bimbang ditahan polis berikutan kononnya terlibat kes jenayah.

"Penahanan wanita berusia 38 tahun itu pula kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian membabitkan kes di Balik Pulau dengan mangsa telah membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza termasuk milik wanita itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM73,972," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tiga individu itu direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!