Jelapang padi Perak terkesan cuaca kering

Keadaan panas dan kering yang melanda negara sehingga September depan akan memberi kesan kepada kawasan pertanian di Perak.
Keadaan panas dan kering yang melanda negara sehingga September depan akan memberi kesan kepada kawasan pertanian di Perak.
A
A
A

IPOH - Keadaan panas dan kering yang melanda negara sehingga September depan akan memberi kesan kepada kawasan pertanian di Perak.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kawasan jelapang padi di daerah Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak yang seluas 29,241 hektar antara yang dikenal pasti terkesan akibat cuaca tersebut.

"Bekalan kepada pengairan melibatkan Empangan Bukit Merah di Kerian yang dihentikan sejak 28 Jun lalu telah berlanjutan selama 33 hari sehingga hari ini.

"Paras air empangan berkenaan telah menyusut ke paras 6.05 meter dengan status semasa Aras Henti Bekalan Pengairan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, aras air semasa bagi Sungai Perak juga menunjukkan penurunan ketara sebanyak 1.2 meter iaitu rendah dari aras normal.

"Stesen pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membekalkan air kepada tanaman padi turut terjejas.

"Status pengoperasian bagi Loji Rawatan Air (LRA) pula sedang dikemaskini dengan Lembaga Air Perak (LAP) untuk mengenal pasti loji-loji rawatan air yang terjejas," katanya.

Mohammad Nizar berkata, aktiviti rekreasi turut menerima impak yang mana paras kolam di Taman Tasik Taiping menyaksikan penurunan ketara.

Artikel Berkaitan:

"JPS Perak telah menghantar dan mengoperasikan pam-pam bergerak di kawasan yang terkesan dengan masalah bekalan.

"Selain itu hebahan awal dibuat kepada semua pemegang taruh yang terlibat bagi langkah penjimatan bekalan air serta usaha agensi menjalankan operasi pembenihan awan bermula hari ini," katanya.

Jelas beliau, projek bagi meningkatkan kapasiti Empangan Bukit Merah sedang dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kapasiti kolam.

"Projek tersebut merupakan inisiatif jangka sederhana dalam membantu mengatasi masalah sumber air demi kesejahteraan penduduk dan pesawah setempat.

"Satu kajian bagi perancangan jangka panjang juga telah disiapkan iaitu kajian Penilaian Air Perak dalam usaha memperkukuhkan Sekuriti Air di negeri ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!