Curi telefon bimbit, tukang masak dijel dua bulan, denda RM2,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang masak dipenjara dua bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana mencuri sebuah telefon bimbit dalam sebuah premis menjual barangan cenderamata, dua minggu lepas.

Majistret M S Arunjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Kok Keong, 28, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Kok Keong didakwa mencuri telefon bimbit bernilai RM787 di sebuah kedai di The Gardens Mall di sini pada 9.50 pagi, 17 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik premis menjual cenderamata itu mendapati kedainya telah dipecah masuk dan terdapat kesan cungkil pada kabinet manakala rakaman kamera litar tertutup pada 10 malam hari sebelumnya mendapati tertuduh telah mencuri telefon bimbit berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran namun peguam C H Low daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!