Kerajaan akan bina institusi TVET di Gua Musang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Asap di Kesedar Sungai Asap pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Asap di Kesedar Sungai Asap pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan membina Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Gua Musang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan institusi TVET itu, bertujuan memberikan latihan dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang bersekolah dan membesar di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), di daerah itu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kursus yang dijalankan TVET mendapat perhatian di seluruh negara, dalam pelbagai industri.

"Daripada 100 orang yang sertai TVET, sebanyak 98.7 peratus mendapat peluang pekerjaan terus dan segera, daripada pihak industri.

"Kesemua mereka akan dibooking atau 'ditempah’ daripada pihak industri, kerana kursus anjuran TVET amat bersesuai dengan permintaan majikan, untuk bekerja di seluruh negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa, Sungai Asap, Kesedar, di sini, pada Selasa.

"Insya-ALLAH, jika perkara berkenaan dipersetujui Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman, maka institusi TVET di Gua Musang akan ditawar secara percuma kepada anak-anak muda di daerah berkenaan.

"Oleh yang demikian, kerajaan akan terus memacu lebih banyak program pembangunan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di Gua Musang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kesedar yang berada di bawah kementeriannya akan membayar gratuiti lebih RM2 juta kepada 241 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan, di sini.

Beliau berkata, setiap peserta akan menerima jumlah terkumpul bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM8,400 dan pembayaran akan dilaksanakan melalui agensi Kesedar sebelum 3 Ogos.

"Saya bersetuju dengan permohonan bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan untuk membayar gratuiti sebanyak RM8,400 secara sekaligus serta baki kepada semua peserta yang belum menerimanya.

"Bagaimanapun dengan syarat, mereka (bekas peserta projek agropolitan Kelantan Selatan) perlu menandatangani surat persetujuan penamatan sebagai peserta Projek Agropolitan.

"Ini sebagai tanda kerajaan amat prihatin kepada nasib bekas peserta projek ini. Kita sudah menimbangkan dan memutuskan untuk membayar bayaran gratuiti seperti yang disebutkan" katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Kesedar telah meluluskan peruntukan lebih RM40 juta, untuk melaksanakan dua Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) di sini.

Beliau berkata, PPD dikhususkan kepada penduduk di wilayah Kelantan Selatan, yang berkonsepkan pembangunan penempatan secara bersepadu iaitu pembangunan perumahan desa secara tersusun yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

"Apa yang saya rancangkan pada hari ini iaitu projek PPD Kesedar bahawa kawasan Paloh, Gua Musang telah diperuntukkan RM20.5 juta.

"PPD kedua juga telah diluluskan dan projek PPD Kesedar Sungai Asap juga akan diberi peruntukan sebanyak RM20.7 juta," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!