Program Protege Yayasan LTAT tawar 170 penempatan
SHAH ALAM - Program Protege Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menawarkan sebanyak 170 penempatan kepada calon bagi tempoh lapan hingga 12 bulan bermula pada Ogos dan September tahun ini.
Unit Komunikasi Korporat Yayasan LTAT (YLTAT) dalam satu kenyataan berkata, program tersebut merupakan anjuran pihaknya bersama Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS).
“Inisiatif Program Protege Yayasan LTAT ini menyediakan penempatan pekerjaan di bawah program ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (Protege) dalam pelbagai industri seperti farmaseutikal, aeroangkasa, minyak dan gas serta penerbangan bermula daripada kelayakan bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Yayasan LTAT memaklumkan bahawa inisiatif terbabit melibatkan anak-anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan (Mindef) itu merupakan laluan khas bagi membantu menambah baik kesejahteraan taraf sosio-ekonomi anak-anak warga pertahanan.
Menurutnya, ia juga turut menyumbang dalam pemacuan ekosistem tenaga kerja sekali gus melahirkan sumber manusia yang berkualiti.
“Pihak YLTAT, GTA, Pharmaniaga, BHPetrol dan BHICAS mengalu-alukan sokongan dan penyertaan daripada semua pihak termasuk pihak kementerian, agensi-agensi, pemain industri serta institusi berkaitan dalam usaha melaksanakan usaha murni ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!