Datuk maut, cucu cedera motosikal dilanggar kereta

Keadaan kenderaan selepas terlibat kemalangan. Foto Ihsan polis
Keadaan kenderaan selepas terlibat kemalangan. Foto Ihsan polis
A
A
A

POKOK SENA - Seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Taman Puteri, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucunya yang berusia tiga tahun cedera di bahagian kepala.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada motosikal ditunggang mereka telah dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Nerang menuju ke Alor Setar.

"Perlanggaran di hadapan Taman Puteri Pokok Sena itu telah mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

"Bagaimanapun, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dengan mengesan saksi saksi kejadian bagi mengetahui punca sebenar kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk tindakan lanjut dan cucu sedang dirawat di zon merah hospital sama.

Siti Nor Salawati berkata, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai terutamanya saksi kejadian ini untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohamad Nor Amin Shariffudin di talian 047321222 atau 0174746379 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 lebih kurang jam 9.16 pagi dan menggerakkan jentera ke lokasi.

"Setibanya di lokasi,komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Almera dengan sebuah motorsikal jenis Yamaha Ego," katanya.

Beliau memaklumkan, kemalangan terbabit menyebabkan seorang lelaki warga emas maut dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,manakala dua mangsa cedera dibawa ke hospital.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.29 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!