Tanah runtuh di Kerala, India ragut 70 nyawa

Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh manakala lebih 100 dikhuatiri hilang selepas tanah runtuh melanda Wayanad pada awal pagi Selasa. Foto EPA
Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh manakala lebih 100 dikhuatiri hilang selepas tanah runtuh melanda Wayanad pada awal pagi Selasa. Foto EPA
A
A
A
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di daerah Wayanad, Kerala, India berikutan hujan lebat pada Selasa.

Angka kematian dijangka meningkat kerana ramai mangsa dikhuatiri terperangkap atau tertimbus di dalam lumpur dan di bawah runtuhan.

Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan lebat bagi daerah yang dilanda bencana itu serta kawasan berhampiran termasuk Malappuram, Kozhikode dan Kannur.

Walaupun tanah runtuh semasa musim tengkujuh adalah perkara biasa di beberapa bahagian di India, skala bencana di Wayanad telah mengejutkan orang ramai.

Sebanyak 11 mayat ditemukan di pelbagai lokasi di sungai Chaliyar dekat Malappuram, lapor media tempatan.

Perjalanan di Kerala turut terjejas akibat hujan dan tanah runtuh.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan berkata, satu pasukan yang terdiri daripada lima menteri telah dihantar ke Wayanad untuk menyelia usaha bantuan yang sedang dijalankan.

Anggota tentera India dan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan dikerahkan untuk membantu dalam usaha menyelamat.

Sementara itu, Perdana Menteri Narendra Modi memberi jaminan kepada ketua menteri Kerala tentang segala bantuan yang mungkin daripada kerajaan pusat susulan bencana berkenaan. - Bernama
Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!