Pengurusan kanan KPJ Healthcare lafaz Ikrar Bebas Rasuah
KUALA LUMPUR - Pengurusan Kanan KPJ Healthcare Berhad melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam program bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Selasa.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, inisiatif berkenaan selari dengan nilai baru KPJ iaitu ‘CARE’.
Menurutnya, tema CARE mewakili komited, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan cemerlang dipilih untuk menekankan tahap dedikasi syarikat terhadap ketelusan dan integriti.
“Komitmen kami terhadap amalan beretika dan ketelusan diperkukuhkan lagi menerusi sesi IBR ini.
“Pematuhan terhadap amalan penuh integriti yang bertanggungjawab adalah penting bagi penyedia penjagaan kesihatan seperti KPJ Healthcare, kerana kami diamanahkan dengan nyawa dan keselamatan individu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas Keat Chyuan, sebarang bentuk penipuan atau rasuah boleh merosakkan reputasi syarikat, menjejaskan kualiti perkhidmatan dan mengakibatkan kehilangan nyawa.
Sesi IBR di Menara KPJ telah dihadiri oleh Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar bersama Ahli Lembaga Pengarah KPJ Healthcare, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.
Sesi ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Nazli Rashid Sulong.
Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung ke semua hospital KPJ dan anak syarikat, termasuk KPJ Tawakkal KL, KPJ Sentosa KL, Hospital Pakar Damansara 2, KPJ ACC Kinrara, Pusat Pakar KPJ Tawakkal, KPJ Healthshoppe, Pusat Pakar Mata KPJ, KPJ Lablink dan Total Meal Solutions.
Sesi IBR terakhir melibatkan hospital di bawah rangkaian KPJ di negeri Sarawak menandakan selesainya siri IBR demi mengukuhkan dedikasi kami untuk memupuk budaya ketelusan dan integriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!