Ben Amir berjaya realisasi misi
[DIKEMAS KINI]IMPIAN pelakon Ben Amir untuk menawan Everest Base Camp (EBC) akhirnya menjadi kenyataan hari ini.
Menerusi perkongsian yang dibuat di akaun media sosial miliknya, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin tiba di EBC pada hari kesembilan pendakiannya.
Berkongsi perasaannya, bintang utama Bawah Payung Awan itu mengakui mendaki ke ketinggian 5,364 meter itu merupakan pengalaman yang berharga dan menyentuh hatinya.
"Setiap hari, saya memaksa diri untuk mengharungi apa sahaja halangan bagi mencapai impian saya," kongsinya.
Bagaimanapun ujar selebriti berusia 32 tahun itu, misinya tidak berakhir di EBC, sebaliknya dia akan meneruskan perjalanan menerusi Chola Pass Gokyo.
"Doakan saya berjaya! Perjalanan saya masih jauh," ujarnya.
Terdahulu, Ben turut berkongsi beberapa pengalaman sepanjang misinya menawan EBC bersama beberapa orang rakan.
Menariknya, pengembaraan ini berlaku secara spontan dan Ben turut merakamkan setiap pengalaman yang dikutip untuk dikongsikan bersama peminatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!