Lesen media sosial: Proses undang-undang perlu telus, adil

Bersih
Bersih
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa sebarang proses pembentukan undang-undang baharu melibatkan lesen perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu dilakukan berasaskan prinsip ketelusan, keadilan, kebertanggungjawaban, inklusif serta menghormati hak asasi rakyat.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, undang-undang tersebut akan membuka kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan tidak setimpal oleh pihak pemerintah, yang mana boleh menidakkan keadilan kepada penyedia perkhidmatan media sosial, penyedia perkhidmatan pesanan internet akhirnya akan menyekat kebebasan bersuara.

“Bersih ingin mengingatkan bahawa banyak tindakan kerajaan sebelum ini yang cenderung menggunakan akta-akta draconian seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 khususnya Seksyen 8A dan Akta Komunikasi dan Multimedia, khususnya Seksyen 211 dan 233 sebagai senjata politik untuk menyiasat dan mendiamkan pihak yang mengkritik kerajaan, termasuk mereka yang kini memegang tampuk kekuasaan.

“Undang-undang yang bersifat punitif seperti akta-akta yang disebutkan di atas, dan ditambah dengan perundangan baharu untuk perlesenan platform media sosial berpotensi besar untuk disalahgunakan sebagai kerangka perundangan untuk menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi daripada rakyat,” katanya pada Selasa.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).

SKMM memaklumkan langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih, pihaknya juga menyokong cadangan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Artikel 19 agar kerajaan menghentikan dahulu keputusan untuk mengadakan lesen platform media sosial yang disifatkan sebagai langkah terburu-buru.

“Bersih juga senada dengan cadangan daripada CIJ dan Artikel 19 yang mencadangkan agar diwujudkan satu majlis media sosial yang bermakna dan berfungsi untuk menggalakkan dan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan dan bukan sekadar alas untuk memperlihatkan bahawa kerajaan telah pun mendengar saranan-saranan daripada masyarakat sivil.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk menerusi penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk meneliti punca kepada buli siber serta aktiviti penyalahgunaan platform sosial media yang lain dan seterusnya menilai kerangka peraturan yang lebih inklusif juga boleh dipertimbangkan oleh kerajaan,” ujarnya.

-

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!