Selesaikan kemelut pemilihan Undang Luak Rembau

A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan digesa mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut pemilihan Undang Luak Rembau ke-22 yang kini dilanda kontroversi.

Buapak Kampung Tanjong, Datuk Kaya Maharaja Hassan Ab Hamid mendakwa, pengisytiharan Kampung Pulau sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 pada 4 Julai lalu tidak dilaksanakan berlandaskan aturan adat Rembau.

Beliau sehubungan itu meminta pihak berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses pemilihan itu dijalankan dengan telus serta adil, sekali gus berlandaskan adat sebenar.

Menurutnya, Kampung Tanjong sepatutnya diisytiharkan sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau ke-22 kerana mendapat majoriti undi dalam dua istiadat pemilihan.

“Pada 24 Jun lepas, dalam istiadat kerapatan, majoriti Buapak bersetuju giliran menyandang pusaka Undang Luak Rembau ke-22 adalah kepada Kampung Tanjong. Namun, Datuk Perba tidak bersetuju dan mengarahkan istiadat kerapatan kedua yang tetap mengekalkan keputusan pemilihan Kampung Tanjong.

“Dalam kerapatan Lembaga pada 4 Julai lalu, Datuk Perba membatalkan keputusan kedua-dua kerapatan dan mengisytiharkan Kampung Pulau sebagai kampung benih, bertentangan dengan aturan adat Rembau,” dakwanya pada satu sidang media di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) di sini pada Selasa.

Ujar Hassan, tatacara pemilihan baharu benih undang juga meragukan kerana dokumen disediakan tanpa perbincangan dengan Buapak dan lbu Soko Biduanda Waris yang Dua Carak.

Kata beliau, dokumen tersebut juga tiada cop mohor dan tandatangan rasmi Allahyarham Datuk Undang Rembau ke-21 dan ketidakselarian tandatangan Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau mendakwa terdapat kesalahan fatal dalam susun atur kampung dalam lampiran serta ketiadaan kelulusan DKU.

“Tiada tarikh pada dokumen dan tandatangan. Ketiadaan tandatangan pada struktur organisasi pentadbiran dan lampiran. Lampiran yang dilampirkan tiada tandatangan.

“Kampung Tanjong yang sepatutnya menerima giliran untuk menyandang pusaka Undang ke-22 dinafikan haknya. Anak buah Kampung Tanjong bersatu mempertahankan hak dan keadilan Kampung Tanjong,” katanya.

Tambah Hassan, perkara itu telah dikemukakan kepada DKU dan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan melalui penyerahan memorandum.

Ujarnya, tindakan tersebut bagi memastikan aturan adat dan tradisi Rembau yang telah diwarisi sejak turun-temurun terus dihormati dan dipertahankan.

Untuk rekod, pemilihan Undang Luak Rembau itu diadakan bagi menggantikan penyandangnya, Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei lalu.

Pemilihan Undang di Negeri Sembilan dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda yang merupakan suku asal di negeri itu.

Terdapat 12 suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!