Hasrat beli roti canai untuk cucu tak kesampaian

Seorang warga emas maut dalam kemalangan di hadapan Taman Puteri, Pokok Sena pada Selasa.
Seorang warga emas maut dalam kemalangan di hadapan Taman Puteri, Pokok Sena pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat seorang lelaki warga emas membeli roti canai untuk cucu perempuannya tidak kesampaian apabila motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan berhampiran Taman Puteri, Pokok Sena, pada Selasa.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Ismail Mat, 79, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan, manakala cucunya, Arissa Azim, 3, cedera di bahagian kepala.

Anak mangsa, Khashida Ismail, 23, berkata, bapanya kebiasaannya membawa Arissa makan di kedai di hadapan kediaman mereka.

Bagaimanapun, dia memberitahu, pada hari kejadian, bapanya tiba-tiba teringin hendak makan roti canai di seberang jalan sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Tambahnya, arwah ada menunjukkan beberapa perubahan termasuklah kerap belanja orang namun dia tidak menyangka ia petanda bapanya akan pergi mengadap Ilahi.

"Jikalau tidak bekerja, saya akan berniaga pisang goreng dan arwah bapa selalu menawarkan diri untuk belanja pelanggan yang datang membeli sejak beberapa hari lepas.

"Arwah bapa bukan belanja seorang dua, tetapi ramai dan tidak sangka itu petanda bapa akan pergi buat selama-lamanya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

Menurut anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu itu, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Sungai Petani pada petang hari sama.

Khashida memberitahu, anak perempuannya kini masih tidak sedarkan diri dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan taman perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucunya yang berusia tiga tahun cedera di bahagian kepala.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada motosikal ditunggang mereka telah dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Nerang menuju ke Alor Setar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!