Pegawai kadet TLDM mungkin boleh diselamatkan jika rawat awal - Pakar patologi forensik

Ahli keluarga Soosaimanicckam memakai baju memaparkan gambar mendiang tanda bersolidariti ketika hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto Bernama
Ahli keluarga Soosaimanicckam memakai baju memaparkan gambar mendiang tanda bersolidariti ketika hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam, yang meninggal dunia selepas latihan fizikal hariannya, mungkin boleh diselamatkan jika mendapat rawatan awal, enam tahun lalu.

Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, 73, seorang Profesor Madya dan Ketua Perubatan Forensik dan Undang-Undang di Royal College of Surgeons Ireland (RCSI) & University College Dublin (UCD) Kampus Malaysia di Pulau Pinang berkata pada pendapatnya, jika si mati dirujuk ke institusi perubatan lebih awal, pemulihan mungkin boleh dilakukan.

"Saya melihat peningkatan kreatinin dalam individu ini (Soosaimanicckam) yang merupakan ciri khas leptospirosis. Orphenadrine dilihat dalam darah. Ia ialah relaksan otot yang digabungkan dengan paracetamol untuk demam. Persoalannya ialah dari mana Orphenadrine itu berasal? Tidak ada kuantifikasi dadah dalam badan.

"Histopatologi paru-paru menunjukkan penyerapan neutrofil, dengan fibrin microthrombi dalam ruang alveolar dan dalam salur kecil dan sederhana menunjukkan ciri-ciri jangkitan paru-paru, hemoraj pulmonari dan intravaskular selerak,” katanya dalam kenyataan saksinya.

Beliau memberikan keterangan dalam kes saman difailkan bapa Soosaimanicckam, S. Joseph terhadap 11 individu termasuk pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertahanan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-15.

Dr Bhupinder yang merupakan saksi terakhir plaintif berkata, bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan itu adalah tidak wajar dan ia sepatutnya dijalankan oleh pakar patologi forensik terlatih, selepas doktor menerima laporan bedah siasat daripada Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, Perak.

"Banyak perkara yang dinyatakan dalam laporan bedah siasat tidak diteliti, untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Dalam kematian seperti ini, terutamanya melibatkan agensi kerajaan, bedah siasat sepatutnya dilakukan oleh pakar patologi forensik terlatih, terutamanya dalam kes ini yang punca kematian seperti tidak jelas.

"Doktor yang menjalankan bedah siasat gagal menghantar spesimen untuk siasatan, terutamanya sampel darah dan air kencing yang doktor katakan tiada. Selain itu, sampel hati, buah pinggang, adrenal dan limpa tidak diambil untuk histopatologi, yang pastinya sangat membantu untuk diagnosis yang betul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada sejarah yang ada, pesakit telah mengadu mengenai kesukaran bernafas dan sakit otot dan dengan penemuan positif pendarahan pulmonari, sakit otot dan juga kesukaran bernafas.

"Dengan sejarah yang diketahui peserta yang sama menginap dengan pesakit yang juga mengalami kegagalan buah pinggang dan si mati juga mempunyai enzim hati yang rosak, semua ini menunjukkan si mati mungkin menghidap leptospirosis sejak awal lagi.

"Tidak dirawat, si mati mengalami kegagalan buah pinggang masif, kejutan dan pendarahan pulmonari masif yang membawa kepada kegagalan pernafasan. Selepas timbulnya gejala paru-paru dalam leptospirosis, yang berkembang dengan cepat pesakit boleh mati dalam tempoh 48 jam akibat kegagalan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, bekas Jurulatih Peperangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Muhammad Faiz Mohamed Zanila, 39, berkata, Soosaimanicckam tidak pernah membuat sebarang aduan bahawa beliau sakit semasa mendiang menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris.

Saksi defendan pertama yang kini bekerja sebagai eksekutif keselamatan di Pengerang Marine Operation, Pengerang Johor berkata, setiap pelatih boleh membuat aduan atau laporan sakit kepada mana-mana jurulatih atau kepada Pegawai Latih Bertugas (PLB), dengan mengisi borang ‘Laporan Sakit Pagi/Khas: Laporan Pemeriksaan Perubatan’ di kaunter kolej kediaman.

"Saya juga tidak pernah menghalang si mati atau mana-mana pelatih untuk pergi ke HAT Lumut untuk mendapatkan rawatan,” katanya semasa pemeriksaan utama Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga mangsa mendakwa kecuaian di pihak defendan kerana gagal memberikan rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian, dan seterusnya mendakwa cuai dalam memantau kesejahteraannya dan kesihatan semasa sesi latihan.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepada Soosaimanicckam.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung pada 1 Ogos. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!