Penyasaran subsidi: Semua kementerian perlu kerjasama tingkat kesedaran ramai
SHAH ALAM - Semua kementerian disarankan supaya bekerjasama dalam memainkan peranan melaksanakan program sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung inisiatif dan bantuan penyasaran subsidi di negara ini.
Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, tindakan meningkatkan kesedaran itu tidak sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sahaja, sebaliknya memerlukan usaha secara bersepadu daripada semua kementerian.
“Ada banyak program yang telah kerajaan keluarkan, saya rasa sekurang-kurangnya ada 61 program sosial telah dikeluarkan tetapi semua ini dikeluarkan oleh kementerian berlainan dan mereka seolah-olah tidak berada dalam satu naungan yang besar.
“Jadi kita nampak ada pengasingan atau silo. Kadang-kala ada keluarga yang menerima bantuan dari tiga atau empat program, tetapi ada keluarga yang tidak terima apa-apa.
“Saya rasa Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah diperkenalkan kerajaan itu adalah sistem yang amat bagus kerana ia boleh kenal pasti siapa golongan-golongan rentan yang boleh mendapatkan bantuan secukupnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 449 bertajuk Subsidi Diesel: Siapa Untung Siapa Rugi? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 pada Selasa.
Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Dalam pada itu, ujar Indrani, kerajaan juga perlu mengenakan hukuman lebih tegas kepada mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang susulan penyasaran semula subsidi.
Menurutnya, meskipun pihak KPDN sedang mengawal atau melakukan pemantauan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 namun, ia belum mencukupi.
“Saya rasa hanya keluarkan notis sahaja tidak cukup, kita kena mengenakan penalti yang begitu tegas.
“Sama ada menggantung lesen mereka atau memberi penalti begitu tegas. Sekarang hukuman penalti sangat terhad.
“Jadi kita kena pastikan supaya mereka ini tidak mengambil kesempatan sewenang-wenangnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!