Kerajaan berani ambil tindakan 'bite the bullet' demi kepentingan negara

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

SHAH ALAM - Penyasaran subsidi yang diumumkan kerajaan merupakan tindakan 'bite the bullet' iaitu sanggup mengambil risiko dalam membuat keputusan tidak popular tetapi bertanggungjawab demi kepentingan negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung kadar inflasi negara, kesan terhadap industri logistik dan pengangkutan berada pada tahap sangat terkawal iaitu dua peratus sahaja.

"Inflasi menunjukkan peningkatan yang sangat minimum. Ini mengejutkan kerana setiap kali ada perubahan dasar atau harga, industri tersebut paling terkesan. Negara pernah mencatatkan 26 peratus (inflasi) selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi jika lihat semula pada 2017 jumlah tersebut mencecah sehingga 17 peratus iaitu ketika sewaktu kerajaan melaksanakan rasionalisasi petrol.

"Walaupun nilainya tak besar tapi (inflasi) melonjak sangat tinggi. Kali ini kita dapat lihat jumlah tersebut sangat rendah dan membuktikan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) serta kerajaan faham tentang bagaimana untuk menguruskan penyasaran subsidi.

"Ini merupakan satu pujian kepada pasukan dalam kementerian kerana telah membuat kajian terperinci yang menyebabkan sektor sepatutnya terkesan tetapi akhirnya menunjukkan kesan minimum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 449, Subsidi Diesel: Siapa untung siapa rugi? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Wacana 449 membincangkan tajuk Subsidi Diesel: Siapa Untung Siapa Rugi?. Dari kiri; Ismail, Indrani, Muhammad Kamil dan Mohd Hasbie di Studio Sinar Harian pada Selasa. Foto: Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Wacana 449 membincangkan tajuk Subsidi Diesel: Siapa Untung Siapa Rugi?. Dari kiri; Ismail, Indrani, Muhammad Kamil dan Mohd Hasbie di Studio Sinar Harian pada Selasa. Foto: Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut beliau berkata, tempoh sepenggal sahaja tidak mencukupi namun, kerajaan sekarang dilihat lebih stabil dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun untuk ambil keputusan tidak popular tetapi bertanggungjawab.

"Kalau kita lihat indikator yang mungkin bersifat jangka pendek, dasar tersebut menunjukkan hasil dan kejayaan. Contoh soal subsidi elektrik, kita jimat RM5 bilion... tarik subsidi ayam, ramai pembangkang menggunakan isu harga ayam akan naik.

"Tetapi itu tidak berlaku. Maknanya penarikan subsidi tersebut tepat dan apa yang kerajaan buat ini ialah menyusun balik (keadaan ekonomi) mengikut keutamaan," ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui menjadi salah satu alternatif yang boleh digunakan untuk menggantikan hasil berasaskan petroleum sekiranya telaga bahan api berkenaan tidak ditemui.

Ujarnya, sebelum ini negara pernah mencecah 690,000 tong sehari dan kini hanya separuh daripada itu, bermakna ada berlaku penyusutan.

"Kita tidak boleh bergantung kepada bahan api sedia, jadi kita perlu meneroka. Susulan daripada itu, kita galakkan rakyat untuk memasang panel solar dan juga memperkenalkan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

"Ini realiti yang kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat, bukan hanya keperluan bahan api sedia ada tetapi juga kebergantungan negara kepada sumber hasil berasaskan petroleum.

"Walaupun setiap tahun ada penemuan telaga baru tetapi tiada jaminan situasi itu akan berulang pada tahun seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!