Hentikan sentimen perpecahan, Akmal perlu beri tumpuan isu konstruktif - DAPSY

 Kelvin Yii Lee Wuen
Kelvin Yii Lee Wuen
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya memberi tumpuan kepada isu konstruktif yang dihadapi negara dan berhenti mencetuskan sentimen perpecahan dalam kalangan menteri Kerajaan Perpaduan.

Ketua DAPSY, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut perlu memahami isu sebenar dan keputusan yang dibuat oleh Kabinet.

"Isu utama adalah untuk mendapatkan pembiayaan yang mencukupi bagi setiap sekolah dan pendidikan di Malaysia di samping melengkapkan peruntukan daripada kerajaan untuk institusi berkenaan.

"Tiada siapa yang mahu membawa pengaruh negatif kepada sekolah, pelajar dan prinsip tersebut. Terbukti dalam keputusan Kabinet bahawa logo dan iklan barangan tersebut tidak dibenarkan di sekolah.

"Jadi, kenyataan berkaitan menjemput syarikat perjudian dan kilang bir untuk melakukan program di sekolah itu menunjukkan beliau tidak jelas atau sengaja menghasut perpecahan dengan mengelirukan rakyat mengenai niat serta hala tuju keputusan Kabinet," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Akmal menyindir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook susulan kenyataannya berhubung isu konsert amal pendidikan yang membabitkan sumbangan serta tajaan sebuah syarikat minuman keras baru-baru ini.

Beliau turut mempersoal mengenai kenyataan Anthony, adakah selepas ini kebenaran akan diberikan kepada syarikat judi untuk terlibat dalam penganjuran acara di sekolah.

Mengulas lanjut, Kelvin Yii berkata, sebagai pemimpin muda Muhammad Akmal perlu meningkatkan idea dan alternatif yang membina untuk memenuhi keperluan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia termasuk aspek peruntukan di setiap institusi berkenaan yang mencukupi untuk semua sekolah atau pembaharuan mata pelajaran penting bagi memastikan kualiti pendidikan terjamin.

"Pemimpin bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk menyatukan semua pihak agar tidak berpecah belah.

"Perkara penting seperti itu menawarkan alternatif membina dan meningkatkan kualiti pendidikan serta menjadi asbab untuk menyatukan semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!