Presiden Iran Pezeshkian angkat sumpah jawatan di Parlimen
TEHRAN - Presiden Masoud Pezeshkian mengangkat sumpah jawatan di Parlimen Iran untuk mula memimpin cabang eksekutif negara itu secara rasmi bagi tempoh empat tahun.
Agensi Berita Iran (IRNA) melaporkan bahawa Pezeshkian mengangkat sumpah pada petang Selasa waktu tempatan dalam satu upacara yang dihadiri oleh delegasi dari kira-kira 88 negara dan pegawai kanan kerajaan Iran.
Sebagai sebahagian daripada sumpah itu, Presiden bersumpah untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai Presiden Republik Islam.
Pezeshkian juga bersumpah untuk memelihara Islam, sistem Republik Islam dan Perlembagaan sebagai Presiden Iran.
Beliau kemudian menyampaikan ucapan kepada para hadirin di Parlimen.
Upacara mengangkat sumpah bermula pada jam 4 petang waktu tempatan di Dewan Utama Parlimen Iran di pusat bandar Tehran.
Ia diadakan dua hari selepas Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengesahkan keputusan pilihan raya presiden baru-baru ini di Iran, membolehkan Pezeshkian memulakan tugasnya sebagai presiden kesembilan dalam sejarah Iran. - Bernama-Irna
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!