Ecotrail Putrajaya gamit penyertaan tujuh negara
ECOTRAIL Putrajaya yang berlangsung pada Sabtu lalu mendapat sambutan hangat apabila disertai 1,000 peserta dalam acara yang berlangsung di Pantai Floria, Putrajaya.
Larian yang masuk edisi ketiga tahun ini juga semakin diiktiraf dunia apabila mampu menarik penyertaan daripada tujuh negara iaitu Vietnam, Perancis, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, dan Singapura.
"Larian unik yang berasal dari Paris ini, mengumpulkan pelari denai yang pelbagai dari segenap dunia, sekali gus membuktikan edisi ketiganya mampu mencipta keunikan tersendiri dengan penyertaan yang mengagumkan.
"Nyata, Ecotrail Putrajaya semakin terus mendapat pengiktirafan dan penyertaan antarabangsa dan terbukti mampu menonjolkan daya tarikan dengan penyertaan meningkat dalam komuniti pelari denai global," kata penganjur Ten Senses (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan.
Larian tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan sokongan daripada Tourism Malaysia selari dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia.
Ecotrail Putrajaya terkenal dengan konsep laluan urban yang menggabungkan keindahan landskap Putrajaya dengan kemudahan persekitaran bandar.
Konsep tersebut juga sangat sesuai untuk pendatang baru dalam sukan larian denai, menawarkan pengalaman yang unik dan mudah diakses selain menggalakkan penyertaan yang lebih ramai.
"Ten Senses (M) Sdn Bhd dan Motac Malaysia berbangga dengan kejayaan pelaksanaan Ecotrail Putrajaya dan mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, sukarelawan, dan penaja yang menyumbang kejayaan acara ini," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!